Khamis, 31 March 2016 | 9:08pm
HAFIZ Hamidun dan Mira Filzah.
SEBAHAGIAN babak membabitkan Hafiz Hamidun dan Mira Filzah dalam projek istimewa lagu Janjiku.
SEBAHAGIAN babak membabitkan Hafiz Hamidun dan Mira Filzah dalam projek istimewa lagu Janjiku.

Hafiz lancar 'kisah cinta' dengan Mira malam ini

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga bulan menunggu, akhirnya 'lamaran' Hafiz Hamidun diterima bakat baharu yang kian bersinar di arena lakonan, Mira Filzah.

Begitupun, ia bukanlah lamaran untuk menjadi kekasih atau isteri, sebaliknya penyanyi yang terkenal dengan album Zikir Terapi itu menawarkan peluang kepada Mira untuk muncul dalam video muzik single terkini dirinya berjudul Janjiku.

Bukan sekadar klip yang bakal mempromosikan lagi lagu berkenaan, ia juga dihasilkan sebagai sebuah filem pendek.

Menurut Hafiz, Mira memberikan persetujuannya seminggu sebelum penggambaran diadakan di sekitar Damansara dan Taman Tun Dr Ismail, di sini, 28 Mac lalu.

"Asalnya Mira memberikan tarikh 23 Mac untuk penggambaran projek ini. Tetapi, dua hari sebelum tarikh itu, Mira memaklumkan dirinya perlu hadir ke majlis pengumuman calon Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29 di Balai Berita. Jadi beliau meminta kami menganjak tarikh penggambaran ke 27 Mac pula. Bagaimanapun akhirnya kami memilih Isnin lalu untuk menjayakan penggambaran dan peluang itu tidak boleh dilepaskan lagi.

"Biarpun semua berlaku pada minit akhir kerana kesibukan kami berdua, tetapi alhamdulillah ia dipermudahkan. Penggambaran membabitkan lokasi di luar dan dalam bangunan. Hendak dijadikan cerita, penggambaran di luar bangunan pun hampir terganggu kerana cuaca hujan, tetapi kami redah saja. Mira pun tidak kisah," kata Hafiz kepada BH Online.

Hafiz juga menyifatkan Mira sebagai artis yang sangat mudah memberikan kerjasama dan bersikap profesional, sekali gus melancarkan kerja penggambaran. Secara keseluruhan, proses menyiapkan video muzik terbabit mengambil masa selama tiga hari.

Kata Hafiz, video berdurasi 8 minit 30 saat itu, yang dikatakan hampir mempunyai kualiti sebuah filem, akan dilancar secara rasmi tengah malam ini, menerusi YouTube.

"Dalam projek ini, saya dan Mira digambarkan sebagai rakan sekerja. Namun, lama kelamaan saya jatuh hati kepadanya. Turut dipaparkan ialah imbasan kembali peristiwa yang berlaku setahun lalu, iaitu 1 April 2015. Sebab itu juga saya memilih untuk melancarkannya pada tengah malam ini," katanya.

Sebelum ini, Mira turut terbabit dalam sebuah lagi projek khas untuk single Jodoh Berdua nyanyian Hafiz.

Berita Harian X