Khamis, 31 March 2016 | 5:56pm

Siti Elizad cuba tunai hasrat ibu

gn4id:12818056

KUALA LUMPUR: Biarpun dirinya dikenali sebagai pelakon, bintang Teman Lelaki Upahan, Siti Elizad tidak pernah melupakan hasratnya untuk menjadi penyanyi.

Ibunya sendiri, Nazariah Mohd Salleh, ketika hayatnya masih ada pernah menyatakan impian beliau untuk melihat wanita berusia 32 tahun itu mencipta nama dalam bidang seni suara.

Ketika berusia 14 tahun, Elizad pernah menyertai pertandingan Asia Bagus di Singapura. Tidak terhenti di situ, beliau juga turut mencuba nasib dengan menghadiri uji bakat rancangan One In A Million musim ketiga yang bersiaran pada 2008.

Terbaharu, calon Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 ini menyertai program pertandingan Gempak Superstar anjuran Astro.

"Saya menyertai Gempak Superstar kerana saya sendiri masih suka menyanyi. Kebetulan, pertandingan ini menampilkan 10 pelakon tanah air yang akan diuji keupayaan mereka bukan saja dalam dunia lakonan tetapi juga nyanyian.

"Jadi, kalau boleh saya ingin mencuba pelbagai bidang. Apabila menerima tawaran ini, kenapa tidak saya mencuba? Mana tahu, jika ada rezeki, saya boleh beri saingan kepada peserta lain.

"Kiranya juga, saya memasuki pertandingan ini kerana ingin memanjangkan lagi hasrat arwah ibu yang mahu melihat saya menjadi penyanyi," katanya yang tetap bersyukur apabila bidang lakonan terlebih dulu memperkenalkan namanya di arena seni.

Kata Elizad, apabila menyanyi di pusat karaoke, beliau lebih gemar lagu berentak pop dan rock, sesuai dengan nada suaranya.

"Saya suka lagu dendangan penyanyi seperti Ella, Awie dan Shima. Saya percaya, pertandingan ini juga akan mencabar kemampuan saya," katanya.

Berita Harian X