Ahad, 27 March 2016 | 8:10am

3 penunggang motosikal parah dirempuh kereta

SEREMBAN: Tiga penunggang motosikal parah ketika cuba membantu mangsa kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi di Kilometer 258.4 arah selatan, dua lelaki dan seorang wanita itu adalah antara sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti di tepi lebuh raya untuk membantu mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta PROTON Saga dan Nissan Grand Livina.

Tiga penunggang motosikal terbabit dipercayai pergi ke lorong paling laju untuk membantu memperlahankan kenderaan di tempat kejadian.

Dalam keadaan gelap itu, mereka dipercayai dilanggar sebuah kereta Toyota Mark dengan nombor pendaftaran Singapura.

Ketua Operasi dari Balai Bomba Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Badrotammam Abd Rahim, berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 5.13 pagi.

Katanya, empat orang, termasuk dua kanak-kanak yang menaiki PROTON Saga, tidak cedera.

"Dua lelaki dan dua wanita yang menaiki Nissan Grand Livina pula hanya cedera ringan," katanya di sini, sebentar tadi.

Badrotammam berkata, Toyota Mark pula dinaiki lima orang, termasuk dua kanak-kanak dan hanya lelaki yang memandu kereta itu cedera ringan.

Katanya, ketiga-tiga penunggang motosikal terbabit dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, untuk rawatan.

Berita Harian X