Ahad, 26 Oktober 2014 | 11:04am
PENGARAH Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli. - Foto ihsan UiTM
PENGARAH Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli. - Foto ihsan UiTM

Malaysia harus miliki muzium kewartawanan

SHAH ALAM: Malaysia harus memiliki muzium kewartawanan yang dapat dijadikan pusat rujukan komprehensif dunia kewartawanan yang sifatnya merentasi zaman awal pengenalannya, pra dan pasca kemerdekaan sehinggalah kini.

Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan (IJS), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli berkata, kewujudan muzium berkenaan bakal memberikan input yang tidak ternilai khususnya, membabitkan khazanah pemikiran inteligensia terdahulu yang dizahirkan menerusi penulisan dan penerbitan buku, majalah, surat khabar, lembaran syair.

Selain itu, surat-surat terpilih Raja-raja Melayu kepada penjajah Inggeris, bahan artifak dunia kewartawanan serta keagungan bidang penulisan dan kewartawanan di kepulauan Melayu turut boleh ditonjolkan .

"Sebagai contoh, golongan literasi dan wartawan adalah pelopor semangat penyatuan orang Melayu ketika menuntut kemerdekaan pada peringkat awal dan seterusnya berperanan sebagai pemangkin terhadap kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, peranan wartawan dan ejen komunikasi amat penting bukan sekadar sebagai penyebar maklumat tetapi lebih daripada itu membantu ke arah pembentukan serta pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu lagi teguh sifatnya.

"Kewujudan muzium kewartawanan itu dapat menjadi satu platform atau sumber maklumat kepada masyarakat untuk memahami sumbangan besar bidang berkenaan.

"Perkara-perkara ini perlu diberitahu kerana bidang kewartawanan memainkan peranan besar dalam proses perkembangan negara bermula era selepas merdeka, era pembangunan dan seterusnya era pemodenan," jelasnya lagi.

Menurut Mohd Amirul Akhbar, muzium kewartawanan itu kelak bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan utama memandangkan kerja-kerja penyelidikan yang bakal dijalankan mampu mengenengahkan keunikan dan ketinggian budaya penulisan di Kepulauan Melayu.

Hal tersebut secara tidak langsung dapat menarik kehadiran pelancong asing yang ingin mengetahui sejarah perkembangan dunia penulisan dan kewartawanan Melayu.

Tambahnya lagi, khazanah inteligensia Melayu khususnya yang berada di luar negara umpamanya di Universiti Leiden memerlukan "sentuhan negara" sekurang-kurangnya memiliki setiap salinan ataupun artifak yang boleh dirujuk dan dikaji oleh pakar-pakar dalam negara ketika ini.

"Pihak berwajib seperti Jabatan Muzium Malaysia mungkin boleh membawa pulang contoh surat atau artifak bersejarah yang terlalu banyak jumlahnya berada di luar negara ketika ini.

"Begitu juga dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Yayasan Warisan Negara dapat membantu membawa balik hasil-hasil penulisan, artifak dan manuskrip lama termasuk surat-surat sultan dan raja Melayu ketika berurusan dengan penjajah Inggeris," katanya.

Berita Harian X