Khamis, 24 March 2016 | 3:49pm

Euro 2016: Schweinsteiger gusarkan persiapan Jerman

BASTIAN Schweinsteiger mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan di Berlin pada Selasa lalu. - Foto EPA
BASTIAN Schweinsteiger mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan di Berlin pada Selasa lalu. - Foto EPA

BERLIN: Tonggak Manchester United, Bastian Schweinsteiger kembali dihantui kecederaan lutut kanan dalam tugasannya bersama Jerman dan menghadapi cabaran sukar untuk kembali cergas pada masanya bagi beraksi di Euro 2016, Jun ini.

Arkitek tengah berusia 31 tahun itu mengutip kecederaan itu ketika sesi latihan di Berlin pada Selasa lalu dan imbasan MRI di Munich malam tadi mendedahkan ligamen lutut dia terkoyak sekali lagi.

Dia akan terlepas aksi persahabatan bertemu England di Stadium Olimpik Berlin Sabtu ini serta Itali empat hari kemudian di Allianz Arena dan berdepan kekangan masa untuk pulih sepenuhnya bagi menghadapi Euro 2016.

"Saya perlu menerima situasi ini," kata Schweinsteiger kepada laman web Persatuan Bola Sepak Jerman.

"Saya sudah bercakap dengan jurulatih pasukan kebangsaan mengenai situasi ini dan kami akan terus kerap menghubungi untuk beberapa minggu akan datang."

Berita ini pasti memberi tamparan yang hebat kepada kapten Jerman itu yang bekerja keras untuk kembali cergas selepas ligamen yang sama turut terkoyak ketika membantu United mencatat kemenangan ke atas Sheffield Wednesday dalam pusingan ketiga Piala FA awal tahun ini.

Dia sudah membuat empat penampilan sebagai pemain gantian pada empat perlawanan terakhir United.

"Ini berita yang sangat pahit, Bastian baharu saja berada semula pada landasan yang betul dan saya tahu dia berkobar-kobar untuk beraksi dalam pertemuan ini," kata jurulatih Jerman Joachim Loew.

"Saya sudah beritahu Bastian saya belum bersedia memadamkan namanya untuk Euro 2016." - AFP

Berita Harian X