Khamis, 24 March 2016 | 3:32pm

Isu Laut China Selatan, rujuk ICJ hanya pilihan terakhir

MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Tindakan membawa isu tuntutan pertindihan di Laut China Selatan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah pilihan terakhir negara jika proses rundingan antara negara yang terbabit gagal.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata bagaimanapun Malaysia berkeyakinan proses rundingan beberapa negara ASEAN dengan China mengenai tuntutan di wilayah lautan itu adalah kaedah yang terbaik.

"Malaysia percaya proses rundingan yang diadakan berdasarkan undang-undang antarabangsa masih kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu ini.

"Merujuk isu ini kepada pihak ketiga seperti ICJ dan Tribunal Arbitrary hanya akan merupakan pilihan terakhir," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abd Rahim Bakri (BN-Kudat) yang ingin tahu sama ada Malaysia mempunyai rancangan untuk merujuk perkara itu kepada ICJ.

Terdahulu, Anifah berkata ASEAN yang terlibat dengan tuntutan bertindih di Laut China Selatan, tidak mengiktiraf tuntutan yang dibuat oleh China, berdasarkan 'nine-dash line' kerana ia tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLSO).

"Pendirian Malaysia berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten.

Semua tuntutan dan penyelesaiannya hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982," katanya.

Mengenai isu Beting Patinggi Ali, Anifah menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah menganggap kawasan itu sebagai kawasan pertikaian atau kawasan di mana wujud tuntutan bertindih antara Malaysia dengan mana-mana negara.

"Saya juga ingin tegaskan bahawa kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keutuhan wilayah dan kepentingan negara," katanya.

Negara ASEAN yang terlibat dalam tuntutan bertindih Laut China Selatan dengan China ialah Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam. - BERNAMA

Berita Harian X