Rabu, 23 March 2016 | 7:06am

Kerintangan antibiotik jadi ancaman

PADA Oktober 2015, BH mendedahkan penyalahgunaan antibiotik dalam perubatan, apabila ia mudah dibeli di farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor. Begitu juga, didedahkan mengenai penggunaan antibiotik yang tidak dikawal di ladang penternakan.

Penggunaan antibiotik, bukan sahaja membimbangkan masyarakat Malaysia, tetapi juga masyarakat antarabangsa. Justeru, Consumers International mengangkat isu mengenai antibiotik sebagai tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2016, iaitu Antibiotics Off the Menu', atau terjemahannya, Jangan Guna Antibiotik Dalam Menu Makanan.

Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia disambut pada setiap 15 Mac, bermula pada 1983. Tarikh ini sebagai memperingati ucapan yang disampaikan John F Kennedy, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) di Kongres pada 15 Mac 1962. Sejak itu, ia menjadi acara tahunan semua pergerakan pengguna antarabangsa yang bergabung dengan Consumers International.

Antibiotik digunakan di ladang ternakan untuk mencegah jangkitan penyakit. Selain itu, ia juga digunakan sebagai perangsang untuk pembesaran haiwan itu. Ia digunakan pada ayam dan babi dan antibiotik itu adalah sama jenis dengan antibiotik yang diberikan kepada manusia.

Hampir separuh antibiotik yang dihasilkan di serata dunia digunakan dalam sektor penternakan. Pada 2010, penggunaan antibiotik di sektor penternakan dunia ialah 63,200 tan. Dijangkakan jumlah ini akan bertambah kepada 105,600 tan pada 2030.

Ayam kebal antibiotik

Dalam kajian Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2012, separuh ayam tempatan kebal kepada ampicillin, sulphonamide dan tetracycline. Bagi ayam import, 80 peratus daripadanya kebal ampicillin, 75 peratus kebal asid nalidixis dan 50 peratus kebal streptomycin dan sulphonamide.

Penggunaan antibiotik yang tidak mengikut sukatan boleh menyebabkan bakteria di dalam badan menjadi semakin kebal terhadap antibiotik. Kerintangan antibiotik (antibiotics resistance) menjadi ancaman terbesar di seluruh dunia. Jangkitan bakteria yang kebal terhadap antibiotik boleh merebak dari ladang kepada manusia melalui tanah, air, udara, baja dan pemakanan daging dan produk haiwan yang tercemar.

Laporan Consumers International, sempena dengan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2016, mengenai kerintangan antibiotik menyebabkan kematian setiap tahun sehingga menjelang 2050. Umpamanya di benua Asia, jumlah kematian ialah 4.5 juta orang, benua Afrika pula 4.1 juta orang, Amerika Latin (392,000), Eropah (390,000) dan Oceania, 22,000 orang.

Untuk membanteras penggunaan antibiotik dalam haiwan yang digunakan dalam makanan, Consumers International menyasarkan tiga rangkaian restoran makanan segera multinasional memberi komitmen supaya tidak menggunakan haiwan yang diberikan suntikan antibiotik secara rutin, dalam hidangan mereka. Ada restoran makanan segera ini bersedia memberikan komitmen berkenaan, namun ia hanya dilakukan di AS dan Kanada, tidak di negara lain.

Selain penggunaan antibiotik dalam menu makanan, pengambilan antibiotik yang tidak dikawal juga berlaku dalam rawatan kesihatan. Ada segelintir masyarakat suka mengambil antibiotik walaupun doktor tidak mengarah berbuat demikian. Antibiotik penting untuk merawat jangkitan bakteria kepada manusia dan haiwan. Bakteria menyesuaikan diri hasil dan kebal terhadap antibiotik. Oleh sebab itu, antibiotik hanya perlu diambil dengan nasihat doktor ketika sakit dan harus dihabiskan walaupun pesakit kembali pulih. Pengambilan antibiotik secara berlebihan tidak dapat meningkatkan daya ketahanan badan.

Isu penyalahgunaan antibiotik dalam rawatan kesihatan ini diberikan penekanan oleh FOMCA untuk dijadikan sebagai kempen Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2016. Untuk itu, FOMCA melancarkan kempen 'Ketahui Ubat Anda' yang mengandungi enam elemen iaitu ketahui ubat yang selamat dengan memeriksa wujudnya label hologram meditag dan nombor pendaftaran MAL yang sah, ketahui cara mengambil ubat yang betul, ketahui sumber ubat yang diambil, ketahui kesan sampingan ubat, ketahui masa untuk mengambil ubat antibiotik dan ketahui ubat alternatif yang boleh diambil selain ubat-ubatan yang diberikan oleh klinik.

Pengguna disaran mengambil antibiotik mengikut ketetapan doktor. Kementerian Kesihatan juga perlu pantau farmasi dan penjualan atas talian bagi ubat antibiotik yang tidak mendapat mendapat preskripsi doktor bertauliah. Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu pastikan ladang ternakan tidak guna antibiotik kepada haiwan ternakan tanpa kebenaran.

Kenyataan Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa menjelang 2020, semua makanan harian, terutama ayam, adalah bebas kandungan antibiotik, dapat direalisasikan demi keselamatan pengguna di Malaysia.

Berita Harian X