Rabu, 23 March 2016 | 2:17am

Lelaki maut ditikam abang

RAWANG: Seorang lelaki maut ditikam abangnya dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Desa, Bandar Country Homes, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10 malam itu, mangsa berusia 26 tahun dikatakan bertengkar dengan abangnya sebelum ditikam menggunakan pisau.

Difahamkan, ibu mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu, namun tidak berhasil. Mangsa yang juga pemandu lori disahkan maut di lokasi kejadian.

Jiran mangsa yang terdengar mereka bertengkar bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak yang tiba di lokasi mendapati mangsa berada di dalam rumah dalam keadaan berlumuran darah.

Suspek yang juga abangnya berusia 40 tahun berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. Turut ditemui pisau yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X