Selasa, 22 March 2016 | 10:03pm

Zulfahmi tekad kembali bersaing MotoGP

Pelumba Negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali (dua dari kanan) dan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Asia/Afrika Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (tiga dari kanan), pada gimik perlancaran Motul FIM Superbike World Championship 2016, di Saloma Bistro. - Foto Saifullizan Tamadi
Pelumba Negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali (dua dari kanan) dan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Asia/Afrika Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (tiga dari kanan), pada gimik perlancaran Motul FIM Superbike World Championship 2016, di Saloma Bistro. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Pelumba negara Zulfahmi Khairuddin tekad memberikan persembahan terbaik di Kejohanan Dunia Motul FIM Superbike 2016 (WSBK) bagi membolehkannya beraksi dalam Moto2 di perlumbaan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

Dia yang mewakili pasukan Orelac Racing dalam perlumbaan WSBK musim ini berkata beliau perlu memastikan prestasinya meningkat dalam setiap perlumbaan bagi mencapai sasaran itu.

"Saya mahu fokus kepada karier di WSBK tahun ini kerana kedudukan tahun depan bergantung kepada pencapaian saya tahun ini.

"Saya harap prestasi musim ini membantu saya untuk ke Moto2 musim depan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi WSBK 2016 di Malaysia yang akan diadakan pada 13 hingga 15 Mei ini.

Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto3 negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam WSBK dengan meraih tempat ketujuh pada pusingan kedua di Litar Buriram, Thailand baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau meraih kedudukan ke-13 pada pusingan awal di Phillip Island, Australia.

"Musim ini masih lagi panjang, saya tidak boleh cepat puas hati dengan prestasi sekarang, dan harus terus berusaha. Sekarang ini, jentera saya adalah yang paling baik.

"Seorang mekanik tempatan turut bersama saya dan pasukan kali ini bagi memudahkan perancangan serta dapat menyediakan jentera yang terbaik pada hari perlumbaan...apabila beliau (mekanik tempatan) ada bersama saya ia lebih memudahkan komunikasi saya dengan mekanik luar yang lain," kata Zulfahmi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali berharap Zulfahmi dapat menggunakan platform WSBK untuk kembali beraksi sebagai pelumba Moto2 musim depan.

Justeru katanya, pelumba muda negara itu perlu segera membiasakan diri dengan jentera 600cc pada musim ini.

"Itu impian saya dan berharap ia juga adalah impiannya. Beliau kena menggunakan peluang yang ada ini (perlumbaan WSBK) untuk lebih kompetitif dan kembali ke MotoGP," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X