Selasa, 22 March 2016 | 6:12pm

Bekas polis ditahan pecah masuk kilang padi

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Douglas Taong (tengah) menunjukkan mesin gergaji yang dilarikan suspek dari sebuah kilang padi di Kampung Ranggom, Keningau. - Foto Francis Andin
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Douglas Taong (tengah) menunjukkan mesin gergaji yang dilarikan suspek dari sebuah kilang padi di Kampung Ranggom, Keningau. - Foto Francis Andin

KENINGAU: Seorang bekas anggota polis yang dibuang kerja berhubung kes dadah tahun lalu, ditahan selepas mencuri tong gas dan mesin pemotong kayu dari sebuah kilang memproses padi di Kampung Ranggom, dekat Apin-Apin, di sini.

Suspek lelaki yang juga bekas lans koperal berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Suan, dekat sini, semalam, selepas polis menjejakinya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh daripada pemilik kilang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Douglas Taong, berkata suspek dipercayai memecah masuk kilang berkenaan pada jam 7 pagi kelmarin, sebelum disedari oleh pemilik premis terbabit ketika memulakan operasi pada jam 8 pagi.

"Suspek dijejaki berdasarkan rakaman CCTV di kilang padi terbabit dan susulan penahanannya, polis merampas sebuah Perodua Viva di rumah suspek.

"Hasil soal siasat, polis menemui semula lima tong gas yang telah dijual di sebuah kedai runcit di Jalan Ansip di sini, dengan harga RM460, selain menjumpai dua mesin pemotong kayu di sebuah bengkel kereta di Kampung Kuangoh dekat Bingkor.

"Polis percaya semua barangan itu dicuri oleh suspek berdasarkan rakaman CCTV di kilang terbabit dan dia kini direman lima untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, sebentar tadi.

Douglas berkata, suspek sebelum ini menjalani hukuman penjara lima bulan atas kesalahan berkaitan dadah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X