Isnin, 21 March 2016 | 10:52pm
MOHD Zailani Mohd Zulkifli, 14, yang ditemui lemas di sungai Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Anggota polis mengangkat mayat, Mohd Zailani Mohd Zulkifli, 14, yang ditemui lemas di sungai Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Pelajar lemas ketika memancing


Anggota polis mengangkat mayat, Mohd Zailani Mohd Zulkifli, 14, yang ditemui lemas di sungai Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Kegembiraan lima sahabat memancing ikan di sungai Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa, Mohd Zailani Mohd Zulkifli dikatakan berada di tebing sungai berkenaan bersama rakannya sebelum turun ke untuk mandi dan menjala ikan.

Mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Chat dikatakan berenang 10 meter dari tebing, sebelum lemas ketika mahu berpatah balik. Bagaimanapun, mayat mangsa ditemui kira-kira 45 minit kemudian.

Rakan mangsa, Muhd Rashid Rabilanai, 13, berkata mereka sedang memancing bersama Mohd Zailani sebelum rakannya itu turun untuk menjala.

"Kami terkejut apabila mendengar dia (Mohd Zailani) meminta tolong dalam keadaan keletihan dan tangan terkapai-kapai sebelum tenggelam.

"Disebabkan kami semua tidak pandai berenang, kami terus berlari ke rumah mangsa iaitu 50 meter dari lokasi kejadian untuk memaklumkan kepada bapanya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Muhd Rashid berkata, dia tidak menyangka kegembiraan mereka memancing di sungai berkenaan bertukar tragedi dan rakannya hilang sekelip mata.

Katanya, mereka sering ke sungai berkenaan untuk memancing dan Mohd Zailani seorang yang pandai berenang.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Azlan Zainal, berkata pihaknya menerima panggilan jam 4.40 petang sebelum menghantar 12 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 10 meter dari tebing sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

 

Berita Harian X