Isnin, 21 March 2016 | 11:59am

Klopp reda kemarahan selepas diaibkan Southampton


PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meredakan kemarahan terhadap Christian Benteke selepas skuad kendaliannya itu mensia-siakan peluang untuk mencipta kemenangan biarpun dua kali mendahului apabila tewas 2-3 kepada Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Pengendali dari Jerman itu menawarkan nasihat ikhlasnya kepada penyerang Belgium berkenaan terlepas peluang terbaik bagi meletakkan Liverpool di depan 3-1 selepas dimasukkan sebagai pemain gantian bagi menggantikan, Daniel Sturridge yang turut meledak satu gol.

"Ada masanya, kamu perlu bercakap dengan pemain, itu tugas saya. Mereka akan beraksi untuk tugasan antarabangsa selepas ini. Saya tidak mahu bercakap menerusi telefon, jadi saya bersemuka dengannya," kata Klopp.

Kehadiran Benteke yang dibawa masuk dengan yuran perpindahan bernilai 32.5 juta pound (RM188.79) daripada Aston Villa pada musim panas lalu masih belum mencetuskan impak buat Liverpool dengan dia berpeluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan malam tadi tetapi percubaannya tersasar.

Bagaimanapun, Graziano Pelle berjaya menyamakan kedudukan buat Southampton selepas itu sebelum gol kedua daripada Sadio Mane memberi tamparan hebat buat Liverpool yang dalam misi memburu kelompok empat teratas liga bagi layak ke Liga Juara-Juara.

Ia adalah kali pertama dalam era Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan Liverpool tewas selepas dua kali mendahului dan mereka kini menghuni tangga kesembilan.

Klopp menyifatkan aksi di babak pertama sangat menakjubkan tetapi tidak gembira dengan persembahan pemainnya selepas waktu rehat.

"Kami hilang formasi pada babak kedua, Southampton memang berhak untuk menang. Sudah pasti kami bertanggungjawab untuk babak pertama dan kedua, jadi kami sepatutnya boleh melakukan lebih baik.

"Namun, inilah bola sepak, kamu perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada," kata Klopp yang yakin anak buahnya tetap berpeluang menamatkan saingan musim ini di kelompok empat teratas liga. - Reuters

Berita Harian X