Khamis, 17 March 2016 | 11:02pm

Kazakhstan 'mandul' pesalah pedofilia secara kimia

SESI Parlimen Kazakhstan di Astana. - Foto AFP

ASTANA: Parlimen Kazakhstan hari ini meluluskan satu pindaan terhadap kanun jenayah, membenarkan pengasian kimia terhadap pesalah pedofilia yang disabitkan jika ada arahan mahkamah.

Senator Byrganym Aitimova berkata, pengasian itu bagaimanapun hanyalah "sementara" terdiri daripada satu "suntikan tunggal" berdasarkan "keperluan mencegah seorang lelaki daripada melakukan keganasan seksual."

Menurut pindaan itu, sebarang keputusan itu akan disediakan mahkamah menerusi rundingan dengan pihak berkuasa perubatan.

Rang undang-undang itu dihantar kepada pejabat Presiden Nursultan Nazarbayev untuk kelulusan.

Jenayah berkaitan pedofilia membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun di Kazakhstan.

Pengasian kimia diamalkan di kebanyakan negara, walaupun negara yang memaksa pesalah seks menerima hukuman itu agak kecil.

Tidak seperti pengasian pembedahan, pengasian kimia tidak mencegah seseorang individu daripada keinginan seksual selama-lamanya, walaupun pihak yang ragu-ragu mempertikaikan ia tidak semestinya menghalang serangan akan datang. Sesetengah kumpulan hak asasi menentang amalan itu.

Tahun lalu, pendakwa raya tempatan berkata, ada peningkatan dalam insiden rogol di kalangan kanak-kanak dengan angka itu meningkat dua kali ganda kepada hampir 1,000 kes antara tahun 2010 dan 2014. -AFP

Berita Harian X