Isnin, 14 March 2016 | 10:02pm

Ecah berdebar untuk kembali ke sekolah

SITI Nuraisyah Sahrin bersama ibu dan neneknya. - Foto Mohd Shukor Mohd Amin

SABAK BERNAM: Pelajar Tingkatan Satu yang putus kedua-dua belah kakinya digilis lori Januari lalu, rasa berdebar untuk kembali ke sekolah apabila sesi persekolahan dibuka pada 21 Mac 2016 nanti. 

Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang mesra dipanggil Ecah, berkata dia berasa bimbang dengan penerimaan rakan serta guru di sekolah itu dengan keadaannya sekarang.   

Katanya, sebelum kejadian, dia belum sempat berkenalan dengan guru dan rakan-rakan sekolah baharunya itu selepas berpindah dari sekolah lamanya di Klang.   

"Bagaimanapun, dengan sokongan ibu, bapa, keluarga dan rakan-rakan rapat, saya akan cuba mengatasi perasaan itu dan tetap pergi ke sekolah," katanya hari ini.   

Dalam pada itu, Ecah terharu dengan langkah pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap yang menyediakan beberapa kemudahan untuknya termasuk laluan kerusi roda dan pengubahsuaian kelas pembelajaran.   

Katanya, kini dia masih berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) iaitu pada hari Isnin dan Khamis bagi menjalani rawatan kakinya yang masih belum sembuh sepenuhnya.   

Pada 18 Januari lalu, Ecah putus kedua-dua belah kaki di bawah paras lutut selepas digilis lori dalam kemalangan di Parit 16, Sungai Panjang di sini, jam 3.30 petang.

Berita Harian X