Jumaat, 24 Oktober 2014 | 10:06am
Anggota polis mengawal apartmen Dr Craig Spencer, mangsa pertama Ebola di New York. - Foto AP
Anggota polis mengawal apartmen Dr Craig Spencer, mangsa pertama Ebola di New York. - Foto AP

Doktor bertugas di Guinea kes pertama Ebola di New York

NEW YORK: Seorang doktor yang kembali ke New York dari Afrika Barat didapati positif dalam ujian Ebola, lapor akhbar New York Times hari ini.

Dr Craig Spencer bertugas bagi sebuah pertubuhan kemanusiaan, 'Doctors Without Borders' di Guinea, iaitu salah satu daripada tiga negara Afrika Barat yang paling teruk dijangkiti Ebola.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan itu berkata, Spencer, 33, mengalami simptom sakit dalam perut dan demam sebelum memaklumkannya kepada 'Doctors Without Borders' pagi semalam.

Kenyataan Jabatan Kesihatan New York menyebut, Spencer dibawa ke Hospital Bellevue dari apartmennya di Manhattan oleh pasukan dilatih khas memakai pakaian perlindungan.

Akhbar itu melaporkan, Spencer menjalani ujian dan didapati positif, sekali gus menjadikannya kes pertama yang disahkan menghidap Ebola di New York.

Ujian lanjut akan dilakukan di Pusat Pengawalan dan Perlindungan Penyakit Amerika Syarikat bagi mengesahkan ujian awal itu.

Jurucakap Datuk Bandar New York berkata, pihaknya tidak dapat mengesah atau menafikan laporan akhbar itu dan enggan mengulas sehingga Datuk Bandar, Bill de Blasio dan Gabenor New York, Andrew Cuomo mengadakan sidang media.

Rakyat Amerika bimbang Ebola akan merebak sejak kes pertama yang disahkan di negara berkenaan, yang dihidapi seorang lelaki Liberia yang melakukan penerbangan ke Texas sebelum dimasukkan ke hospital di Dallas, bulan lalu.

Lelaki terbabit, Thomas Eric Duncan, meninggal dunia pada 8 Oktober lalu manakala dua jururawat yang merawatnya turut disahkan dijangkiti virus maut itu. - REUTERS

Berita Harian X