Sabtu, 12 March 2016 | 4:32pm

Pengarah sasar BoBoiBoy: The Movie kutip RM20 juta

PENGARAH BoboiBoy The Movie, Nizam Razak pada tayangan perdana filem Boboiboy di Pusat membeli belah Pavilion. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Filem animasi pertama terbitan Animonsta Studios, BoBoiBoy: The Movie dijangka mampu mencapai kutipan RM20 juta apabila turut ditayangkan di Indonesia bermula 13 April depan, selain bakal menembusi pasaran Singapura pada hujung bulan ini.

Menemui penonton tempatan dan Brunei Darussalam sejak 3 Mac lalu, BoBoiBoy: The Movie terus memberikan persaingan di pawagam apabila kutipannya hingga kini sudah mencecah RM5 juta.

Pengarahnya, Nizam Razak, berkata pihaknya menerima permintaan dari Singapura pada minggu lalu untuk memulakan tayangan di sana, sekali gus membantu melonjakkan lagi kutipan filem itu.

"Kita masih dalam proses untuk memulakan tayangan di Singapura. Insya-Allah, filem ini akan memasuki pawagam di sana dua minggu lebih awal berbanding Indonesia. Sasaran kami, filem ini mampu mencapai kutipan sekitar RM20-RM25 juta berdasarkan tayangan di empat negara.

"Kami dimaklumkan, tayangan di Indonesia nanti akan membabitkan 100 skrin di 50 panggung dan menjangkakan kutipan di sana mampu menjana sekitar RM8-RM10 juta," katanya ketika dihubungi BH.

Melihat perkembangan positif dan sambutan luar biasa terhadap filem itu, Nizam berhasrat menerbitkan sekuel BoBoiBoy: The Movie sama seperti produksi terbitan Marvel Studios.

Ketika ini, Nizam dalam proses menerbitkan animasi keduanya berjudul Meka Mato apabila siri animasi itu juga diterima ramai, termasuk penonton di luar negara.

"Alhamdulillah, walaupun teknik yang digunakan tidak secanggih filem animasi Hollywood yang memerlukan modal besar, tetapi ia diterima baik penonton. Pada permulaan, saya agak gusar dan takut kerana filem ini akan bersaing dengan Kung Fu Panda 3 yang sudah mempunyai reputasi tersendiri.

"Saya agak terkejut apabila filem ini mendapat sambutan yang sungguh luar biasa," katanya.

Nizam memberitahu, dia terharu apabila ada pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi (IPT) menjadikan filemnya sebagai tugasan kepada penuntut untuk menghayati dan mempelajari teknik yang dihasilkan.

"Kami turut menjalin hubungan dengan IPT tempatan sebagai pendedahan dan berkongsi pengalaman mengenai hasil kerja kami untuk dipelajari. Ia antara impian besar kami untuk melahirkan generasi pelapis pereka filem animasi tempatan pada masa depan," katanya.

Berita Harian X