Sabtu, 12 March 2016 | 7:38am
penemuan artifak dipercayai berusia kira-kira 14,000 tahun kira-kira 16 hektar kawasan sekitar Gua Pelangi dekat FELDA Pasoh 4, Simpang Pertang.
penemuan artifak dipercayai berusia kira-kira 14,000 tahun kira-kira 16 hektar kawasan sekitar Gua Pelangi dekat FELDA Pasoh 4, Simpang Pertang.

Kawasan Gua Pelangi akan diwarta hutan lipur

SIMPANG PERTANG: Kira-kira 16 hektar kawasan sekitar Gua Pelangi dekat FELDA Pasoh 4 di sini, lokasi penemuan artifak dipercayai berusia kira-kira 14,000 tahun, akan dicadangkan kepada kerajaan negeri untuk diwartakan sebagai hutan lipur.

Ini berikutan penemuan artifak terbabit tahun lalu bukan sahaja mencatat sejarah di negeri ini, malah negara kerana ia bukti kewujudan penempatan prasejarah di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias, berkata Jabatan Perhutanan akan diminta menyediakan kertas kerja untuk tujuan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, berkata walaupun proses pewartaan mungkin mengambil masa, paling penting ialah usaha ke arah itu digerakkan mulai sekarang.

"Pewartaan kawasan sekitar Gua Pelangi penting kerana ia terletak dalam Hutan Simpan Pasoh yang tidak boleh dimasuki mana-mana pihak tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan," katanya ketika merasmikan Ekspedisi Gua Pasoh 4 di kawasan Gua Pelangi, petang semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS), Baharudin Jali dan Pengarah Perhutanan negeri, Salim Aman.

Ekspedisi tiga hari disertai lebih 50 orang itu dianjurkan oleh LPNS dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Jabatan Perhutanan, Azliny Team Building-Outdoor Adventure dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, status kawasan hutan lipur juga membolehkan orang ramai mengunjungi kawasan itu, sekali gus memanfaatkan penduduk sekitar dan negeri ini secara keseluruhan serta sejajar matlamat menjadikan Jelebu destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.

BH pada Disember lalu melaporkan penemuan artifak zaman prasejarah di Gua Pelangi oleh pasukan penyelidik USM. Penemuan artifak dalam bentuk alatan batu dan sisa makanan itu adalah yang pertama di selatan Semenanjung selepas sebelum ini ditemui di Perak dan Pantai Timur.

Berita Harian X