Sabtu, 12 March 2016 | 6:00am

Peluang Leicester perkukuh kedudukan di puncak liga

Oleh Amirullah Andi Nur

arullah@bh.com.my

KOLUM APA KATA EPL

BAGI minggu ke-30 ini hanya lima aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal berlangsung. Ia bagi memberi laluan kepada empat perlawanan Piala FA kerana saingan berkenaan membabitkan tujuh pasukan dari liga.

Tarikh baharu bagi aksi tertangguh itu bakal diumumkan kemudian. Perlawanan tertangguh itu adalah membabitkan Manchester United-Crystal Palace, West Ham-Watford, Sunderland-Everton, Arsenal-West Bromwich dan Liverpool-Chelsea.

Bagi Piala FA pula, saingan minggu ini bagi peringkat suku akhir itu membabitkan aksi Reading-Crystal Palace, Everton-Chelsea, Arsenal-Watford dan United-West Ham.

Mengimbas kedudukan liga minggu lalu, Leicester City terus unggul di puncak dengan himpunan 60 mata, meninggalkan pesaing terdekat, Tottenham Hotspur menerusi kelebihan lima mata.

Arsenal pula di tempat ketiga dengan 52 mata, manakala City di tangga keempat dengan 50 mata. Ini diikuti West Ham (49), United (47) dan Liverpool (44).

Bagi saingan minggu ini, empat pasukan teratas liga iaitu Leicester, Spurs dan City akan turun beraksi manakala skuad The Gunners bimbingan Arsene Wenger berjuang pada perebutan Piala FA.

The Foxes yang dilatih oleh Claudio Ranieri akan menerima kedatangan Newcastle United, manakala Tottenham berkunjung ke Aston Villa dan City pula bertandang ke Norwich City.

Dan mungkin secara kebetulan, ketiga-tiga pasukan tiga teratas liga dan calon juara musim ini, bakal menentang tiga pasukan tercorot yang juga dalam zon penyingkiran.

Bagi Leicester kemenangan ke atas Newcastle harus paling diinginkan. Tatkala saingan kini berbaki sembilan aksi yang menjanjikan 27 mata, Ranieri dan anak buahnya tidak boleh tercicir biarpun satu mata bagi mengelak impian bergelar juara tergugat.

Pada pertembungan pertama di St James Park, 21 November lalu, The Foxes menang 3-0 dengan peledak berbisa mereka, Jamie Vardy mencipta sejarah menjaringkan gol dalam 10 aksi berturut-turut. Pemain itu ketika ini mendahului dengan 19 jaringan.

Adakah barisan Ranieri mampu mengulangi pencapaian lalu itu? Saya fikir ia mampu, namun ia bakal menjadi aksi getir. Ini kerana skuad Magpies yang kini kehilangan khidmat Steve McClaren itu kini berdepan situasi 'hidup mati' dalam EPL.

Mereka tidak boleh terlepas sebarang mata lagi kerana kini di kedudukan tangga kedua tercorot liga selepas hanya berupaya mengumpul 24 mata, sekali gus meletakkan pasukan itu diambang penyingkiran.

Dalam pada itu, Tottenham yang tumbang 3-0 kepada Borussia Dortmund pada aksi suku akhir pertama Liga Europa awal pagi semalam, harus tiada masalah untuk bangkit menyingkirkan pasukan tercorot liga, Aston Villa di Villa Park malam esok.

Ketika pertemuan terakhir pada 2 November lalu di White Hart Lane, anak buah Mauricio Pochettino mudah menjinakkan pasukan ini, 3-1. Namun Spurs harus berhati-hati agar tidak mudah terjebak supaya dapat terus menekan Leicester di puncak.

Sementara itu, City dijangka juga tiada masalah mengutip mata penuh di Carrow Road apabila bertemu Norwich untuk memintas Arsenal di tempat ketiga dan sekali gus merapati Spurs dan The Foxes. Selamat menonton.

Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Ramalan Minggu ke-30

Norwich City 0 Manchester City 5

Stoke City 2 Southampton 2

Bournemouth 1 Swansea City 1

Aston Villa 0 Tottenham 4

Leicester City 3 Newcastle 0

Berita Harian X