Rabu, 9 March 2016 | 1:20pm

Taiwan beri amaran negara berbelanja lebih untuk ketenteraan


Menteri Pertahanan Taiwan, Kao Kuang-chi

TAIPEI: Menteri Pertahanan Taiwan hari ini memberi amaran terhadap negara-negara di wilayah itu yang berbelanja lebih untuk mengukuhkan kekuatan ketenteraan mereka sejak ketegangan meningkat.

Beliau berkata demikian ketika memberi komen umum berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Tetapi Taiwan lebih selesa berdiam diri terutama berhubung itu berbanding China, yang giat menyokong tuntutan dengan pembinaan pelabuhan dan lapangan terbang kecil di pulau-pulau terpencil di perairan yang dipertikaikan.

"Negara-negara jiran kini meningkat belanjawan ketenteraan mereka dan perolehan senjata dan sedang menyesuaikan beberapa pergerakan tentera mereka selain menjalankan latihan bersama di laut," kata Menteri Pertahanan Taiwan, Kao Kuang-chi kepada Parlimen ketika membentangkan laporan pertahanan terkini kementeriannya.

Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam juga mempunyai tuntutan bertindih ke atas sebahagian daripada perairan yang kaya sumber tenaga di mana lebih daripada AS$5 trilion (RM20 trilion) perdagangan maritim melaluinya setiap tahun.

Bulan lalu, Kementerian Pertahanan Taiwan mengingatkan pihak berkepentingan untuk tidak mengambil langkah bersendirian yang akan meningkatkan ketegangan di kawasan itu, selepas mengesahkan tentera China meletakkan peluru berpandu permukaan-ke-udara di sebuah pulau kecil di Laut China Selatan.

Laporan kementerian menyebut, Taiwan terus memberi perhatian kepada pemodenan ketenteraan China, yang mencerminkan ketegasannya untuk melindungi kepentingan terasnya.

Beijing menganggap Taiwan sebagai salah satu kepentingan terasnya dan melihat pulau itu sebagai wilayah yang perlu diambil semula walau dengan kekerasan. - Reuters

Berita Harian X