Isnin, 7 March 2016 | 12:08am
MOHD Hafiz Abdul Rashid. - Foto Mohd Asri Saifuddin

RJH bukti kehebatan bisnes keluarga


SEBUAH bangunan hanya dapat berdiri teguh jika batu asasnya cukup kukuh. Begitu juga dengan perniagaan.

Untuk mengukuhkan asas perniagaan, ia mengambil masa dan kesabaran. Ia bermula dari kecil dan membesar perlahan-lahan.

Tambahan lagi apabila ia membabitkan perniagaan keluarga, tanggungjawab menerajuinya lebih berat lagi.

Ini dibuktikan perniagaan keluarga, RJH Consultants & Services Sdn Bhd, yang terbabit dalam perkhidmatan pengangkutan, dengan nadi penggeraknya, Mohd Hafiz Abdul Rashid, 38, selaku Pengarah Urusan.

Pembabitan Mohd Hafiz dalam perniagaan tidak dirancang pada awalnya.

Selepas tamat pengajian dalam bidang perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000, beliau menyertai Rugby Event Promotion Sdn Bhd, syarikat yang mengurus dan menganjurkan acara ragbi tujuh sebelah di Malaysia, dengan menguruskan kewangan syarikat itu.


RJH Consultants & Services terbabit dalam perkhidmatan pengangkutan. - Foto Mohd Asri Saifuddin

Kira-kira dua tahun bersama syarikat pengurusan acara itu, bapa Mohd Hafiz menasihati beliau agar berbuat sesuatu bagi membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Secara kebetulan pula, beliau bersua rakan di universiti yang ketika itu bekerja di sebuah syarikat insurans, yang memaklumkan syarikat insurans itu memerlukan 'runner' atau orang yang sanggup mengurus dan membuat penghantaran bagi urusan memperbaharui cukai jalan kenderaan.

Sungguhpun ialah hanya satu usaha niaga kecil, Mohd Hafiz tidak keberatan untuk menceburinya. Tambahan lagi, tiada yang lebih seronok bagi Mohd Hafiz daripada berusaha niaga sendiri, kerana sebelum itu beliau sudah pun berjinak dengan perniagaan secara kecil-kecilan, seperti mengedar jersi ragbi dan sebagainya.

Dengan modal awal RM5,000, RJH ditubuhkan pada 2002, dengan perniagaan teras menawarkan perkhidmatan penghantaran insurans dan cukai jalan.

Dalam pada itu, beliau gigih mendalami ilmu insurans dan berusaha mendapatkan lesen untuk membolehkan syarikat beroperasi sebagai ejen insurans kenderaan dan am, yang diperolehnya setahun kemudian.


BERBEKALKAN modal awal RM5,000 ketika ditubuhkan pada 2002, RJH meraih pendapatan RM15 juta pada tahun lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin

Dalam setahun, perniagaan yang pada asalnya kecil saja, mula berkembang.

Melihat kepada dedikasi Mohd Hafiz dan yakin akan potensi bagi syarikat untuk pergi lebih jauh lagi, bapa beliau yang adalah bekas pegawai kanan kerajaan, mencadangkan agar beliau mempelbagaikan lagi operasi syarikat dalam segmen logistik.

Pada tahun 2004, RJH mendapat lesen daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebagai ejen penghantaran barangan dengan pelanggan pertama MIM Resources Sdn Bhd, syarikat pemasangan TV dan penghawa dingin.

Rezeki datang tidak diduga. Pada penghujung tahun 2004, RJH berjaya mendapat kontrak besar daripada Weststar Group, syarikat dikuasai Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, bagi penghantaran kenderaan import sepenuhnya (CBU) yang tiba dari Pelabuhan Klang ke Pusat Pemeriksaan Pra Penghantaran (PDI) di Kota Kemuning.

Tahun 2004 hingga 2006 adalah tahun yang cukup memberangsangkan bagi RJH. Kereta yang dibawa masuk Syed Azman seperti Chevrolet, Honda, Suzuki dan Ford diuruskan sepenuhnya oleh RJH.


MOHD Hafiz (dua dari kanan) bersama pekerjanya berbincang mengenai strategi syarikat di Bandar Bukit Tinggi, Klang. - Foto Mohd Asri Saifuddin

Apabila kerajaan memperkenalkan Dasar Automotif Nasional baharu pada 2006 yang mana AP francais hanya diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pendapatan RJH mula terjejas.

"Pendapatan syarikat susut ketara, tapi kami berusaha mengekalkan kakitangan di RJH. Tiada seorang pekerja pun dibuang," katanya. AP pengimportan kenderaan CBU terbabit kini diberikan kepada DRB Hicom.

Berikutan reputasi baik RJH sewaktu menguruskan pengangkutan untuk Weststar sebelum ini, DRB Hicom menawarkan RJH menjadi satu daripada ejen pengangkutan kenderaannya.

Ia lebih baik lagi kerana penghantaran dalam jumlah yang lebih besar dan lebih jauh jaraknya, termasuk penghantaran ke bilik pameran.

Pada 2008, Mohd Hafiz dengan sokongan bapa dan adik beradik yang lain, adik, memperbesarkan pengangkutan kenderaan dengan modal berbayar RM1.5 juta.

Lengkaplah kini RJH menjadi usaha niaga keluarga. Bapa beliau selaku Pengarah Eksekutif bertindak sebagai Penasihat, manakala dua adiknya, Mohd Hanif, 37, sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan yang bertanggungjawab menguruskan pengangkutan kenderaan, pengangkutan kargo dan pergudangan.


CARTA antarabangsa fret yang digantung di pejabat RJH di Bandar Bukit Tinggi, Klang. - Foto Mohd Asri Saifuddin

Muhamad Hakim, 26, pula menguruskan aspek pemasaran dan operasi sebagai ejen penghantaran dan perkapalan, manakala sepupunya, Muhammad Ashraff Ismailudin mengetuai perniagaan sebagai ejen insurans.

Bermula pada tahun 2002 dengan hanya dua pekerja, Mohd Hafiz dan sepupu Muhammad Ashraff, hari ini RJH terbabit dalam empat perniagaan teras iaitu insurans; ejen perkapalan; pengangkutan kenderaan dan barangan komersial; serta fret.

Ia memiliki 17 unit lori pengangkut kenderaan, lima prime mover dan 22 trailer bagi mengangkut kontena 20 kaki dan 40 kaki. Semua kenderaan dilengkapi sistem GPS.

Jumlah kakitangan ialah seramai 47 orang, dengan cawangan di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

RJH mendapat pensijilan ISO:9001:2008 (Sistem Pengurusan Kualiti) pada 2011 hingga kini. Tahun lalu, RJH meraih pendapatan RM15 juta.

Mengenai perancangan masa depan, Mohd Hafiz berkata pihaknya akan menceburi dalam skala yang lebih besar dalam segmen penggudangan.

"Pastikan anda menilai dengan jujur komitmen kepada perniagaan dan rakan kongsi. Kejayaan perniagaan bergantung kepada keputusan yang anda buat berdasarkan apa yang terbaik untuk perniagaan. Jika anda tidak bersedia untuk melakukannya, maka perniagaan anda akan gagal," demikian pesanan akhir beliau.

Beliau menyifatkan kekuatan syarikat itu terletak kepada ayah dan ibu beliau, pesara guru besar, yang mana berkat didikan dan penekanan disiplin, mereka berupaya menggabung adik beradik dan sepupu di bawah satu bumbung perniagaan.


MOHD Hafiz rancang menceburi dalam skala yang lebih besar dalam segmen pergudangan pada masa depan. - Foto Mohd Asri Saifuddin

BIODATA:

Nama: Mohd Hafiz Abdul Rashid

Pendidikan Rendah: SK Tunku Abdul Rahman, JB

SK Bagan Ajam, Butterworth

Pendidikan Menengah: SMK Agama Al-Irshad, Kepala Batas, Pulau Pinang

SMK Agama Kota Kinabalu, Sabah

MRSM Kuala Berang, Terengganu

Matrikulasi Perakaunan UPM

Pendidikan Tinggi: UPM (BA Perakaunan)

Jawatan terkini: Pengarah Urusan RJH Consultants & Services Sdn Bhd

Berita Harian X