Jumaat, 4 March 2016 | 7:23pm

Penilaian bebas sahkan tiada kes pemerdagangan manusia - FGV

Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Sebuah badan pengesahan bebas, Wild Asia, hari ini mengesahkan tiada sebarang bukti dakwaan berlakunya pemerdagangan manusia di ladang milik Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di Jempol, Negeri Sembilan, sebagaimana dilaporkan media pada Julai 2015.

Dalam satu kenyataan hari ini, FGV menegaskan ia jelas terkandung dalam laporan Wild Asia.

Hasil temu bual petugas kami tidak menemui sebarang kes 'pemerdagangan manusia' (sebagaimana dilaporkan media) atau dapat merumuskan wujudnya 'buruh paksa' (sebagaimana dinyatakan oleh SA8000)," kata laporan itu.

Standard SA8000 adalah piawaian pensijilan sosial bagi tempat kerja bersesuaian dan memuaskan berdasarkan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang melindungi hak asasi manusia kalangan pekerja.

Dakwaan yang dibuat dalam laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Julai 2015, menerima reaksi segera FGV yang menyifatkannya sebagai tamparan terhadap komitmennya dalam aspek layanan saksama serta ketelusan.

Antara langkah segera diambil FGV bagi menyiasat kesahihan dakwaan itu, termasuk menghubungi pihak WSJ bagi mendapatkan maklumat yang dapat membantu siasatan berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, menegaskan kumpulan itu mempunyai dasar jelas berhubung usaha pengambilan pekerja asing.

"Kumpulan ini juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencabulan atau penganiayaan.

"Malah, kami ingin mengulangi serta menegaskan fakta bahawa prosedur pekerjaan dan dasarnya adalah berpandukan undang-undang Malaysia serta peraturan negara asal pekerja terbabit.

"Sebagai majikan yang adil dan saksama, kesemua pekerja asing yang digaji FGV mempunyai hak dan keistimewaan sama seperti pekerja tempatan," katanya.

Mohd Emir berkata, FGV juga komited terhadap Prinsip dan Kriteria Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) serta standard Minyak Sawit Lestari Malaysia.

FGV mempunyai seramai 24,674 pekerja asing yang diambil secara sah dan mematuhi sepenuhnya semua peraturan berkaitan yang ditetapkan. - BERNAMA

Berita Harian X