Jumaat, 4 March 2016 | 7:16pm
KEADAAN dua buah kereta yang remuk selepas dirempuh sebuah lori trailer di KM 270 Lebuhraya Utara- Selatan menghala Selatan. - Foto Hazreen Mohamad
MANGSA, Zulkifli Abd Razak, 43 (kanan) melihat keadaan keretanya yang remuk selepas dirempuh sebuah lori trailer di KM 270 Lebuhraya Utara- Selatan menghala Selatan. - Foto Hazreen Mohamad

2 cedera nahas 2 kereta Mini antik, treler

SEREMBAN: Dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta Mini antik dan sebuah treler di Kilometer 270 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, seorang penumpang sebuah kereta Mini cedera parah, manakala pemandu treler cedera ringan.

Zulkifli Abdul Razak, 43, yang memandu Mini antik bersendirian dari Shah Alam, Selangor, ternampak sebuah kereta model sama dipercayai rosak berhenti di laluan kecemasan, lalu berhenti untuk membantu.

Ketika berjumpa pemandu kereta yang rosak itu, katanya, sebuah treler tiba-tiba melanggar kedua-dua kereta Mini terbabit.

"Mujur kami sempat melompat tetapi seorang lelaki dalam Mini yang rosak itu tidak sempat keluar dan cedera parah akibat perlanggaran itu," katanya ketika ditemui di sini.

Zulkifli bersyukur kerana selamat walaupun keretanya remuk dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Badrol Tamam Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.59 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera dan 10 anggota.

Sebaik tiba, katanya, seorang mangsa yang cedera parah telah dikeluarkan dari kereta oleh orang ramai dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dengan ambulans yang kebetulan melalui kawasan itu.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X