X
Khamis, 3 March 2016 | 8:18pm

Wanita, 2 lelaki ditahan ketika asyik bungkus dadah

Superintendan Yahaya Hasan (tengah) bersama Pegawai Penyiasat Tie Ngie Sieng (kiri) dan Pemangku Ketua Siasatan Jenayah Nakotik IPD Hilir Perak, Ins Saiful Bahar bersama dadah yang dirampas. - Foto Ravale Savarinathan
Superintendan Yahaya Hasan (tengah) bersama Pegawai Penyiasat Tie Ngie Sieng (kiri) dan Pemangku Ketua Siasatan Jenayah Nakotik IPD Hilir Perak, Ins Saiful Bahar bersama dadah yang dirampas. - Foto Ravale Savarinathan

TELUK INTAN: Seorang wanita yang baru diletakkan di bawah pengawasan polis, ditahan semula kerana mengedar dadah.

Wanita berusia 37 tahun itu ditahan bersama dua lelaki berusia 47 dan 51 tahun ketika sedang membungkus dadah untuk diedarkan di dalam sebuah rumah di Kampung Bakar Arang, Mukim Kota Setia, dekat sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hasan, berkata ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan dilakukan pihaknya selepas membuat intipan dan pemantauan di rumah itu sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, ketika serbuan, tiga suspek berkenaan duduk di ruang tamu sambil melakukan aktiviti salah itu.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui 146.12 gram dadah dipercayai heroin dan 6.38 gram dadah jenis Metampethamine.

"Polis turut merampas wang tunai bercampur-campur berjumlah RM4,200 yang disyaki hasil jualan dadah. Keseluruhan nilai rampasan adalah RM11,639," katanya di sini hari ini.

Yahaya berkata, siasatan mendapati suspek berusia 51 tahun yang juga pemilik rumah berkenaan memiliki dua rekod lampau iaitu tindakan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah mengikut Seksyen 6(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Katanya, suspek berkenaan juga ada rekod mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Sitiawan di mana suspek masih dalam jaminan polis dan menunggu perbicaraan di mahkamah.

"Suspek lelaki berusia 47 tahun dan suspek wanita masing-masing mempunyai empat rekod lampau. Hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua suspek aktif dalam kegiatan berkenaan sejak setahun lalu dan rumah itu menjadi sarang pengedaran dan penagihan dadah.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X