Rabu, 2 March 2016 | 12:09am
BUAH Keranji Madu antara yang menarik di Pasar Sentral Sibu. - Foto Nadim Bokhari
SEBAHAGIAN dari peniaga Pasar Sentral Sibu menjalankan operasi mereka. - Foto Nadim Bokhari
IKAN Bilis dijual mengikut gred di Pasar Sentral Sibu. - Foto Nadim Bokhari
AYAM hidup yang dibungkus kertas surat khabar bagi menjaga kebersihan pasar menarik perhatian pengunjung. - Foto Nadim Bokhari
BUAH Dabai antara daya penarik pengunjung ke Pasar Sentral Sibu. - Foto Nadim Bokhari
PENIAGA Pasar Sentral Sibu menawarkan hampir semua barang keperluan harian. - Foto Nadim Bokhari

1,100 gerai di Pasar Sentral Sibu


SIBU: Ada beranggapan kunjungan ke bandar ini 'kurang lengkap' jika tidak singgah di Pasar Sentral yang terletak berhampiran Terminal Bot Ekspres Sibu di kawasan tebing Sungai Rajang.

Diiktiraf sebagai pasar terbesar di Malaysia, pasar itu mempunyai keunikan tersendiri apabila 'menghimpunkan' peniaga kecil dari pelbagai kaum dan etnik di Bumi Kenyalang, dengan 1,100 gerai jualan barangan keperluan harian, termasuk hasil hutan yang jarang ditemui di tempat lain.

Sebut sahaja barangan keperluan harian dimahukan, hampir semuanya boleh diperoleh di pasar dua tingkat ini, dengan aras bawah menempatkan gerai menjual hasil laut, daging, ayam, sayuran dan buah-buahan, manakala di aras dua terletaknya gerai makanan dan minuman, selain kedai pakaian.

Dibina pada 1996 membabitkan kos RM12 juta, Pasar Sentral bertujuan menempatkan semula semua penjaja yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di tebing sungai dan kawasan lorong di pusat bandar.

Kedudukannya di pusat bandar menjadikannya sebagai lokasi tumpuan utama penduduk tempatan untuk membeli keperluan harian, malah pasar berkenaan juga menjadi destinasi wajib singgah pengunjung dari luar yang berkunjung ke Sibu.

Berikutan itu, pasar berkenaan sentiasa sesak dan jumlah pengunjung meningkat mendadak pada hujung minggu sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya di pusat bandar Sibu.

PASAR Sentral Sibu menepatkan 1,100 peniaga kecil pelbagai etnik Sarawak. - Foto Nadim Bokhari

PASAR Sentral Sibu. - Foto Nadim Bokhari

Residen Bahagian Sibu, Hii Chang Kee, berkata pasar berkenaan turut menarik perhatian pemimpin utama negara apabila menjadi pilihan mereka untuk mengadakan tinjauan mesra ketika melakukan lawatan kerja ke Sibu.

"Datuk Seri Najib Razak pernah singgah bersarapan di salah sebuah gerai di sini dalam lawatan kerjanya pada 2012. Malah, beliau turut meninjau keseluruhan pasar berkenaan dan beramah mesra dengan komuniti peniaga di sini.

"Selepas mendengar rungutan peniaga dan pengunjung yang tidak berpuas hati dengan keadaan di bahagian jualan ikan dan hasil laut, Perdana Menteri menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan kerja menaik taraf pasar berkenaan," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula melakukan tinjauan mesra di Pasar Sentral.

Beliau bukan sahaja meninjau pasar berkenaan dan bersarapan bersama pengunjung, malah turut membeli pelbagai buah-buahan tempatan Sarawak yang mungkin tidak ditemui di Semenanjung.

SEBAHAGIAN dari peniaga Pasar Sentral Sibu menjalankan operasi mereka. - Foto Nadim Bokhari

Chang Kee berkata, peniaga kecil yang mencari rezeki di Pasar Sentral bukan sahaja kalangan penduduk tempatan Sibu, malah ramai yang datang dari daerah lain seperti Kapit dan Mukah turut memeriahkan pasar tumpuan ramai itu.

Beliau berkata, jumlah peniaga meningkat pada musim buah-buahan sehingga memaksa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang menyelia pasar berkenaan, membuka gerai tambahan di bawah khemah di luar bangunan untuk menempatkan mereka.

"Ketika musim buah-buahan, suasana di Pasar Sentral yang sememangnya sentiasa meriah akan menjadi lebih meriah lagi sehingga bertukar seolah-olah tapak pesta kerana di situlah ramai penjual durian dan dabai dari Kapit, Kanowit dan Song berkumpul dan menawarkan buah-buahan pada harga yang murah.

"Ketika musim buah-buahan juga ramai penduduk dari bahagian lain di Sarawak akan tertumpu di Pasar Sentral Sibu.  Sebab itu saya boleh kata, tidak sah kunjungan ke Sibu, jika anda tidak mengunjunginya," katanya.

Satu lagi kelainan Pasar Sentral Sibu ialah peniaga ayam hidup diwajibkan membungkus haiwan jualan mereka dengan kertas surat khabar lama sehingga ia menjadi tarikan ramai kerana kaedah itu jarang dilaksanakan di tempat lain.

AYAM Pencen yang dijual dengan harga RM 10.00 seekor serta dibungkus dalam kertas Suratkhabar sering menjadi tarikan pengunjung. - Foto Nadim Bokhari

Seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Wong berkata, kaedah itu sudah lama diamalkan oleh peniaga ayam hidup di Sibu kerana ia akan memastikan kawasan gerai mereka sentiasa bersih dari pencemaran najis haiwan jualan mereka.

Beliau berkata, penggunaan surat khabar lama sebenarnya bertindak seperti lampin pakai buang dan sentiasa ditukar untuk memastikan kebersihan persekitaran serta kebersihan ayam dijual.

"Ramai pengunjung dari luar hairan apabila melihat ayam yang dibungkus kerana mereka kata, hanya di Pasar Sentral ini sahaja mereka melihatnya. 

"Kebanyakan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar ayam yang kami jual.

 

"Biarpun jarang pengunjung dari luar membeli ayam jualan kami, gelagat mereka yang tertarik melihat kaedah penjualan kami sudah cukup mengembirakan kerana sekurang-kurangnya cara kami ini yang dianggap luar biasa, turut menyumbang kepada daya tarikan ke Sibu," katanya.

Berita Harian X