Selasa, 1 March 2016 | 1:44pm

Lori terbalik, minyak sawit tumpah di jalan

LORI membawa muatan minyak sawit terbalik menyebabkan kemalangan di Jalan Ayer Hitam-Kulai, hari ini. - Foto bomba

KULAI: Dua cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori membawa muatan minyak sawit di Jalan Ayer Hitam-Kulai di sini, pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Masnawi Wardjin, berkata kemalangan menyebabkan berlaku tumpahan minyak sawit di atas jalan apabila lori membawanya terbalik.

"Sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.02 pagi, sebuah jentera dengan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai di sini, bergegas ke lokasi kejadian.

"Setiba di lokasi kejadian, kita mendapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu PROTON Saga BLM, Toyota Hilux dan lori membawa muatan minyak sawit seberat 35 tan.

"Dua mangsa yang cedera dipercayai menaiki PROTON Saga BLM dan Toyota Hilux itu sudah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Kulai di sini, manakala pemandu lori terbabit selamat," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Masnawi berkata, pihak bomba giat menjalankan kerja pembersihan minyak yang tumpah atas jalan raya.

Berita Harian X