Selasa, 1 March 2016 | 9:17am
GAMBAR hiasan

Zika mungkin sebabkan kelumpuhan sementara - kajian

LONDON: Saintis mungkin mendapat bukti pertama bahawa Zika boleh menyebabkan kelumpuhan sementara, menurut satu kajian baharu ke atas pesakit yang menunjukkan gejala yang jarang berlaku ketika wabak virus itu menular di Tahiti dua tahun lalu.

Kadar penularan Zika kini membimbangkan seluruh Amerika. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan ia sebagai wabak kecemasan global beberapa minggu lalu berdasarkan dakwaan ia mungkin punca kepada peningkatan kecacatan kelahiran dan sindrom Guillain-Barre, penyakit neurologi yang kebanyakannya berlangsung beberapa minggu.

Sebelum merebak ke Amerika Selatan tahun lalu, penyebaran Zika bawaan nyamuk ini menular di Pasifik Selatan di pulau Yap, Micronesia dan Polynesia Perancis, termasuk pulau terbesarnya, Tahiti.

Penyelidik di Tahiti, Perancis dan di tempat lain kembali dan menganalisis sampel darah semua 42 orang dewasa yang menghidap sindrom Guillain-Barre pada 2013 hingga 2014, hampir semua menunjukkan tanda jangkitan Zika seperti sebelumnya.

Mereka dibandingkan dengan pesakit yang tidak mengalami keadaan yang sama dan tiada sebarang gejala Zika tetapi dirawat di hospital yang sama untuk penyakit lain.

Ujian menunjukkan hanya separuh daripada sekumpulan 98 pesakit dijangkiti virus ini yang lazimnya ringan.

Kajian ini diterbitkan dalam talian pada Isnin dalam jurnal perubatan Lancet.

"Bukti yang mengaitkan virus Zika dengan sindrom Guillain-Barre kini lebih ketara dan menarik," kata Pakar penyakit berjangkit di Universiti Edinburgh Napier, Peter Barlow, yang tidak terbabit dengan kajian itu.

Tetapi beliau berkata dalam satu kenyataan, lebih banyak kajian diperlukan sebelum mencapai kesimpulan mengenai wabak itu di Amerika, di mana faktor tempatan boleh memainkan peranan. - AP

Berita Harian X