Selasa, 1 March 2016 | 8:09am

Arsenal sertai tiga 'gergasi' pikat Mahrez

PENGENDALI Leicester City, Claudio Ranieri bersama pemainnya Riyad Mahrez pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Norwich City, baru-baru ini. - Foto Reuters
PENGENDALI Leicester City, Claudio Ranieri bersama pemainnya Riyad Mahrez pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Norwich City, baru-baru ini. - Foto Reuters

LONDON: Arsenal sudah bersedia menyertai persaingan mendapatkan khidmat pemain sayap Leicester City, Riyad Mahrez pada musim panas ini.

Mahrez, 25, sudah menjaringkan 14 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini selain menghasilkan 10 gerakan untuk rakan sepasukan meledak gol sekali gus meletakkan Leicester di tangga teratas liga.

Menurut sumber, Arsenal sedang memantau perkembangan prestasi Mahrez dan sudah bersedia menawarkan kontrak kepada pemain antarabangsa Algeria itu andai dia mahu berpindah.

Mahrez menandatangani kontrak baharu bersama Leicester pada awal musim ini yang menyaksikan dia akan kekal bersama kelab itu sehingga 2019.

Bagaimanapun, The Foxes bersedia menimbangkan sebarang tawaran dari mana-mana kelab termasuk Manchester United, Barcelona dan Real Madrid yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain itu bersama kelab masing-masing.

Pengurus Leicester, Claudio Ranieri memaklumkan minggu lalu betapa dia akan membenarkan Mahrez meninggalkan Stadium King Power pada hujung musim ini andai ada permintaan untuk dia berpindah. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X