Ahad, 28 Februari 2016 | 12:24am
BANK Negara akan mengeluarkan syiling peringatan sempena Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia 2016, mulai Isnin. - Foto hiasan/Asyraf Hamzah
BANK Negara akan mengeluarkan syiling peringatan sempena Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia 2016, mulai Isnin. - Foto hiasan/Asyraf Hamzah

Syiling peringatan kejohanan ping pong dikeluarkan - BNM

KUALA LUMPUR: Bank Negara akan mengeluarkan syiling peringatan sempena Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia 2016, mulai Isnin.

Syiling peringatan itu akan dijual kepada orang ramai dalam tiga spesifikasi iaitu perak (pruf), tembaga dan emas Nordic.

Dalam kenyataannya, hari ini, Bank Negara berkata, syiling perak dan emas Nordic akan mula dijual mulai Isnin ini di Muzium Bank Negara Malaysia dan Galeri Seni serta pejabat cawangan dan wilayah terletak di Pulau Pinang, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Syiling tembaga akan dilelong pada Ahad di Sasana Kijang, BNM.

"Syiling peringatan perak berwarna (pruf) diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan seberat 31.10 gram. Nilai muka syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM200 sekeping. Kuantiti tempaan ialah 500 keping," katanya.

Sementara itu, syiling tembaga diperbuat daripada tembaga tulen dengan ketulenan 99.9 dan seberat 130 gram.

Nilai mukanya ialah RM5 dan akan dilelong pada harga indikatif RM150.

"Kuantiti tempatan ialah sebanyak 300 keping sahaja.

Bagi syiling emas Nordic, nilai mukanya ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM10 sekeping dan kuantiti tempaan ialah 10,000. - BERNAMA

Berita Harian X