Khamis, 25 Februari 2016 | 12:02am
TAWARAN membintangi drama Tentang Hati 2 membolehkan Sherry untuk kembali membawakan karakter lebih berat dan bermain dengan emosi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sherry Ibrahim 'berkongsi kasih' dengan Fasha Sandha


SAAT ini, percintaan antara Sherry Ibrahim dengan pelakon, Fattah Amin bukan lagi rahsia. Begitupun, perhubungan yang sudah terjalin hampir dua tahun, selepas sama-sama terbabit dalam penggambaran drama Cinta Ibadah, tidak banyak digembar-gemburkan.

Sama ada Sherry mahupun Fattah, masing-masing nampaknya lebih selesa untuk mengelak daripada berbual soal hati.

Sebelum ini, Fattah sendiri ada mengatakan, beliau cuba untuk tidak memperkatakan mengenai kisah cinta mereka kerana bimbang akan memberikan kesan tidak baik kepada Sherry.

Ini kerana setiap kali kisah cinta mereka dikongsi, setiap kali itulah wanita terbabit menjadi mangsa kecaman peminat di laman sosial.

Bagaimanapun, apabila cerita mengenai Sherry yang khabarnya terpaksa "berkongsi kasih" dengan wanita lain kedengaran baru-baru ini, pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah perhubungan dia dan Fattah sedang berdepan masalah? Maklum saja, tiada siapa di dunia ini yang sanggup melihat kasihnya dikhianati.

SHERRY Ibrahim cukup senang berlakon di sisi Aaron dan Fasha. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Namun begitu, peminat usah cepat melatah apabila membaca kenyataan mengenai perkongsian kasih berkenaan. 'Drama' itu hanyalah sebahagian daripada kisah yang dapat disaksikan menerusi Tentang Hati 2 yang turut dilakonkan Sherry bersama Aaron Aziz dan Fasha Sandha. Hakikatnya, hubungan kedua-dua selebriti terbabit masih baik.

Sherry sendiri cukup gembira apabila berpeluang berlakon dengan Aaron dalam drama yang akan disiarkan menerusi RTM itu.

Apatah lagi, pemenang dua kali gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu sendiri sememangnya antara pelakon yang sekian lama menjadi impiannya untuk bekerjasama.

Selepas mencipta populariti dengan Teduhan Kasih yang dilakonkan olehnya bersama-sama Adi Putra pada 2013, mungkin situasi sama akan dapat dikecapi oleh Sherry sebaik saja drama terbaharunya itu menemui penonton, kali ini bersama Aaron pula.

Pelakon wanita ini sendiri tentu saja mengharapkan perkara sama, mengenangkan graf populariti dirinya agak kurang konsisten sejak membabitkan diri dalam lakonan.

SHERRY Ibrahim mencipta populariti dengan Teduhan Kasih yang dilakonkan olehnya bersama-sama Adi Putra pada 2013. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menyentuh peluang keemasan bergandingan dengan Aaron, Sherry memberitahu, ada peristiwa lucu di sebaliknya. Kepada BH, Sherry berkongsi pengalaman berkenaan.

"Kelakarnya sebelum mendapat tawaran drama ini, saya dan Izreen Azminda yang ketika itu sedang melunaskan baki penggambaran drama Kak Marr di Kuala Perlis, sekitar Disember lalu, ada berborak mengenai aktor pilihan yang menjadi idaman kami untuk berganding bersama. Saat itu, dalam hati terlintas keinginan untuk berlakon dengan Aaron.

"Tiba-tiba, pada minggu sama, saya mendapat panggilan telefon daripada sebuah produksi yang mahu menggandingkan saya dengan beliau. Ia memang sesuatu yang tidak disangka-sangka, tetapi itulah hakikat yang terjadi. Mereka seperti tahu keinginan saya untuk berlakon dengannya. Alih-alih ia menjadi kenyataan," katanya.

Tawaran membintangi drama Tentang Hati 2 juga sebenarnya amat menggembirakan hati bakat kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sherry sering diberikan peranan komedi. Justeru, watak yang ditawarkan kepadanya menerusi drama terbabit seperti mengubat kerinduan beliau untuk kembali membawakan karakter lebih berat dan bermain dengan emosi.

"Memang selepas Teduhan Kasih, saya lebih cenderung menerima tawaran berlakon drama komedi. Jadi, tuah kali ini cukup berbeza. Tambahan pula saya dapat berlakon dengan Aaron. Watak dalam drama ini sendiri memang sudah lama diidamkan.

SHERRY Ibrahim akan berganding bersama Aaron Aziz dan Fasha Sandha menerusi drama Tentang Hati 2. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Karakternya bukan terlalu jahat, tetapi menjadi pendendam dek insiden lama," katanya yang baru saja menghabiskan penggambaran drama berkenaan.

Sebelum ini, menerusi musim pertama, karakter yang dijayakannya itu dilakonkan oleh Anzalna Nasir. Berikutan pelakon terbabit tidak dapat meneruskan wataknya untuk musim kedua kerana sibuk dengan persediaan perkahwinannya, rezeki berpihak kepada Sherry.

"Kerana baru saja menyertai drama ini bagi musim kedua, saya tidak boleh sesuaikan diri dengan watak yang sebelum ini dibawakan Anzalna. Jadi, saya cuba membawa kelainan, selain banyak bertanya. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pelakon yang terbabit cukup hebat, selain kru serta produksi yang senang memberikan kerjasama," katanya.

Dalam drama itu, Sherry membawakan watak isteri kedua kepada Aaron, dengan Fasha pula sebagai isteri pertama.

"Watak ini cukup banyak bermain dengan perasaan. Pada episod awal, watak lakonan saya tertanya-tanya mengenai status sebenar dirinya, tanpa mengetahui si suami mempunyai isteri lain. Isteri pertama bagaimanapun mengetahui kewujudan madunya.

"Dalam cerita ini, saya dan Fasha bertemu kerana anak kami, hasil perkongsian hidup dengan Aaron, belajar di sekolah sama. Tanpa diduga, mereka jadi rakan baik dan Fasha sering berkongsi masalah rumah tangganya, tanpa mengetahui mereka sebenarnya berkongsi suami," katanya.

PELAKON, Sherry Ibrahim. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sherry turut memaklumkan, beliau cukup senang berlakon di sisi Aaron dan Fasha.

"Aaron seorang yang sangat komited dan senang memberikan kerjasama. Jadi, kami mudah bergandingan, malah senang melontarkan dialog masing-masing.

"Pendek kata, pengarah, pembantu pengarah, jurusolek dan tenaga kerja belakang tabir, semuanya cukup menyenangkan. Fasha pula seperti kita sedia maklum, sangat profesional.

"Semua yang terbabit sangat menghormati masa. Dialog juga sudah sedia untuk dilontarkan dan masing-masing mahu memberikan yang terbaik.

Umpamanya, babak saya bersama Fasha, sekali dirinya memberikan pandangan, saya sendiri secara automatik cuba membalas emosi yang diberikannya," katanya yang sekali lagi enggan berbicara lanjut soal cinta apabila cuba diumpan berbuat demikian.

Berita Harian X