Rabu, 24 Februari 2016 | 8:51am

China hantar jet pejuang ke pulau dipertikai


Pesawat penggempur China jenis Shenyang J-11s (Flanker)

WASHINGTON: China menghantar jet pejuangnya ke pulau yang dipertikai di Laut China Selatan, tindakan yang dilihat memburukkan lagi ketegangan di wilayah berkenaan.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) melaporkan kepada Fox News, pulau itu adalah pulau sama di mana peluru berpandu jenis darat ke udara diletakkan China.

Pegawai risikan AS mendakwa, melihat kurang daripada 10 pesawat penggempur China jenis Shenyang J-11s (Flanker) dan Xian JH-7s (Flounder) di Pulau Woody sejak beberapa hari lalu, lokasi sama peluru berpandu darat ke udara HQ-9 diletakkan ketika Presiden Barack Obama menjadi tuan rumah kepada Persidangan Pemimpin Asian ke-10 di Palm Springs.

Ketegangan meningkat ketika Setiausaha Negara, John Kerry menerima kunjungan rakan sejawatnya dari China, Menteri Luar Wang Yi, di Jabatan Negara.

Wang berkata semalam, beliau berharap dapat menghentikan penerbangan tentera dan rondaan oleh kapal Tentera Laut AS ke atas pulau yang dipertikaikan.

Kerry pula berkata, beliau juga mahu China menamatkan penguasaan ketenteraan di pulau yang dipertikai di Laut China Selatan.

Wang dijadual melawat Pentagon pada Selasa, tetapi dibatalkan. Masih tidak jelas pihak mana yang membatalkan lawatan itu.

Ketika ditanya Fox News pada taklimat akhbar semalam, Setiausaha Akhbar Pentagon, Peter Cook, berkata "konflik penjadualan" menghalang pertemuan itu diteruskan.

Pulau Woody adalah pulau terbesar dalam rangkaian kepulauan Paracel di Laut China Selatan. Ia terletak 402 kilometer ke tenggara pangkalan kapal selam utama China di Pulau Hainan. China menuntut Pulau Woody sejak 1950-an, begitu juga Taiwan dan Vietnam. - AGENSI

Berita Harian X