Selasa, 23 Februari 2016 | 4:13pm

`Detox' keluarga baharu KECV

GAJAH yang diberi nama 'Detox' dipindahkan ke Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir (KECV). - Foto Syahirah Abdullah

KUALA BERANG: Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir (KECV) menerima ahli keluarga baharu apabila seekor gajah liar jantan berusia lima tahun yang ditangkap di Felda Cherul, Kemaman pada November tahun lalu, ditempatkan di situ.

Gajah diberi nama `Detox' itu akan dipertonton kepada awam sebagai tarikan terbaru KECV.

Detox dipindahkan dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Hulu Terengganu ke KECV jam 12 tengah hari tadi.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Mohd Hasdi Husin, berkata penyerahan itu adalah yang pertama selepas perjanjian persefahaman (MoU) antara PERHILITAN dan kerajaan negeri.

"Sehingga kini, sebanyak 13 gajah berusia dua hingga 38 tahun termasuk enam jantan dan tujuh betina sudah ditempatkan di KECV.

"Mengikut MOU, sebanyak 30 gajah perlu dipindahkan ke KECV dan kita akan memindahkan baki 17 gajah ke pusat itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya selepas Majlis Penyerahan Gajah PERHILITAN kepada kerajaan negeri di KECV, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Hasdi yang mewakili PERHILITAN menyerahkan permit khas Detox kepada Pengarah Urusan KECV, Ang Ching Yang, yang mewakili kerajaan negeri.

Mohd Hasdi berkata, pihaknya akan cuba memenuhi kuota gajah ke KECV secepat mungkin tetapi lazimnya mengambil masa lama memandangkan kerja menangkap gajah liar bermasalah dengan orang awam bukan mudah.

"Gajah yang ditangkap akan dilatih terlebih dulu di Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka dalam tempoh tiga hingga enam bulan, bergantung kepada saiz gajah sebelum dipindahkan ke KECV," katanya.

Berita Harian X