Sabtu, 20 Februari 2016 | 9:40am

Harapan Nice pudar selepas diikat Bordeaux

PERTAHANAN Bordeaux, Mathieu Debuchy (kiri) bersaing dengan pemain tengah Nice, Mathieu Bodmer dalam aksi Ligue 1 di Stadium Matmut Atlantique, di Bordeaux, Perancis. - Foto AFP

BORDEAUX: Nice memudahkan aspirasi Eropah mereka apabila melakar keputusan seri tanpa jaringan dengan kelab Bordeaux, di sini, sekali gus hanya meletakkan mereka di tangga ketiga Ligue 1, semalam.

Pasukan dari Riviera yang pernah mencatat keputusan 6-1 ketika menumpaskan lawan sama di halaman sendiri September lalu, pantas menyerap setiap peluang yang diciptakan anak buah Willy Sagnol.

Dengan penyudah yang tidak mantap di hadapan gol, Bordeaux pastinya kecewa memandangkan mereka sudah terlepas peluang bagi merapatkan jurang satu mata dengan Nice.

Nice kini mengumpul 41 mata daripada 27 perlawanan, 29 mata di belakang pendahulu Paris Saint-Germain yang bakal melayan kunjungan Reims, malam ini manakala Bordeaux berada di kedudukan kesembilan.

"Kamu perlu sedar yang Nice adalah sebuah pasukan hebat, kelab yang tak akan berada di podium (ketiga) tanpa melakukan apa-apa. Mereka akan berjuang sehingga ke akhir musim," kata Sagnol.

Tanpa penjaring terbanyak mereka Hatem Ben Arfa, barisan Claude Puel terlepas beberapa peluang pada awal permainan termasuk cubaan tandukan pada minit ketujuh menerusi pertahanan Paul Baysse selepas menerima sepakan percuma daripada Jean Michael Seri.

Namun penjaga gol Nice, Yoan Cardinale terpaksa bekerja keras selepas itu dengan dihujani beberapa cubaan daripada tuan rumah menerusi pemain tengah dari Argentina, Valentin Vada.

Penyerang dari Mali, Cheick Diabate terlepas dua peluang berharga pada kedua-dua babak perlawanan tatkala penyerang Bordeaux, Thomas Toure tidak lagi mampu menyerlahkan keupayaannya.

Pemain bek Bordeaux yang juga pemain kebangsaan Perancis, Mathieu Debuchy terpaksa diusung keluar pada minit ke-82 ekoran kecederaan hamstring.

"Tak nampak begitu serius tetapi kami memerlukan 48 jam untuk mendapatkan diagnosis yang lebih tepat," kata Sagnol. - AFP

Berita Harian X