Jumaat, 19 Februari 2016 | 10:13pm

Warga Afrika samun ahli perniagaan ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Afrika dipercayai terlibat dengan kes samun wang tunai bernilai AS$200,000 (RM823,000) milik seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Hamzah Alias, berkata suspek berusia 30-an itu ditahan di sebuah pusat hiburan di Taman Seri Merdeka, Ampang di sini kira-kira 3 pagi tadi.

"Susulan penahanan suspek itu polis sedang memburu tiga lagi rakannya yang juga warga Afrika dipercayai masih berada di sekitar Kuala Lumpur," katanya selepas menghadiri program Santai Ola Bola Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Pada 29 Januari lepas, ahli perniagaan berusia 61 tahun itu diserang empat individu lelaki di kawasan UK Heights, Ampang, di sini ketika menuju ke sebuah lokasi bagi menjalankan urusan pelaburan.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, empat lelaki yang menaiki dua kereta berasingan bertindak menahan kereta mangsa sebelum dua daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa dan melarikan wang tunai itu.

- BERNAMA

Berita Harian X