Jumaat, 19 Februari 2016 | 7:53am

Grup sembang ubat rindu kumpulan pertama pelajar AF

KHAI AF1 bersama isterinya, Rosma selepas persembahan pada konsert AF Reunion di Dataran Merdeka. - Foto Nik Hariff Hassan
KHAI AF1 bersama isterinya, Rosma selepas persembahan pada konsert AF Reunion di Dataran Merdeka. - Foto Nik Hariff Hassan

SHAH ALAM: Biarpun kenangan 'bertarung' di pentas sulung, Akademi Fantasia (AF) sudah lebih sedekad berlalu, kumpulan pelajar pertama program realiti itu rupa-rupanya masih rapat dan sering bertanya khabar.

Naib juara AF musim pertama, Khai berkata, dia dan teman-teman membentuk kumpulan sembang melalui aplikasi WhatsApp atas nama 'AF1 Family' sebagai medium berinteraksi.

"Ini adalah inisiatif kami di mana saya mengumpulkan semua bekas peserta AF1. Syukur, kami dapat disatukan dan nampaknya, masing-masing cukup aktif bertanya khabar.

"Selain bercerita perkembangan terbaharu kehidupan masing-masing, kami berkongsi cerita anak atau kelahiran bayi," katanya kepada BH Online ketika ditemui di sini.

Khai atau nama sebenarnya, Mohammad Khairul Nizam Mohammad Wahi berkata, melalui kumpulan sembang itu, mereka dapat merancang pertemuan bagi mengubat rindu.

Menurutnya, semua peserta AF1 seperti isterinya, Rosma, Vince, Adi, Azza, Burn, Atie, Nana, Azizi, Liza, Nija dan Sahri menyertai kumpulan sembang itu.

KHAI dan Rosma yang dikurniakan dua cahaya mata, sibuk menguruskan perniagaan serta memenuhi undangan membuat persembahan. - Foto Nik Hariff Hassan
KHAI dan Rosma yang dikurniakan dua cahaya mata, sibuk menguruskan perniagaan serta memenuhi undangan membuat persembahan. - Foto Nik Hariff Hassan

"Saya bersyukur kerana hubungan kami masih kekal sampai hari ini. Pastinya memori di AF1 sangat berharga lebih-lebih lagi kami adalah dari kumpulan pelajar musim pertama AF.

"Saya ingat lagi apabila segala-galanya baharu buat kami ketika itu," katanya.

Khai menambah, beberapa rakan dalam kumpulan itu masih aktif dalam bidang seni. Namun, ada juga yang memberi sepenuh tumpuan kepada rumah tangga dan kerjaya.

Malah, Khai dan Rosma yang dikurniakan dua cahaya mata, sibuk menguruskan perniagaan serta sekali-sekala memenuhi undangan membuat persembahan.

"Syukur selain menyanyi, kami dapat berniaga sebagai persiapan masa depan," katanya.

Mengenai kerjaya nyanyiannya, Khai berkata, dia selesa tampil sebagai pasangan duet kepada Rosma dan merancang menerbitkan single terbaharu.

Selepas single Dengan Sekali Lafaz ciptaannya dengan lirik ditulis Habsah Hassan dihasilkan, Khai menyusun strategi menghasilkan produk baharu.

"Saya akui bukan mudah terutama dalam memastikan lagu kita dimainkan di radio, tetapi saya akan tetap mencuba," katanya.

Berita Harian X