Rabu, 17 Februari 2016 | 12:04am
PELAKON, Azlan Mokhtar dikenali Lan Siro (kiri) Idris Khan, Azrel Ismail (duduk kanan) bersama Penolong Pengarah drama Bodyguard semasa pengembaraan di Sri Rampai. - Foto Hasriyasyah Sabudin

'Abang Sado' Idris Khan idam wanita matang


BERTUBUH sado, bakat baharu, Idris Khan, 27, pantas menjerat imaginasi ramai gadis yang meminati jejaka berwajah ala Bollywood.

Berdarah campuran Melayu-Pakistan, Idris atau nama sebenarnya, Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan dianggap antara barisan aktor pelapis berwajah tampan yang berpotensi besar.

Tidak hairanlah, baru setahun berjinak-jinak dalam dunia seni, Idris bolos senarai calon awal Anugerah Bintang Popular BH Ke-29. Idris bersaing dengan 19 artis lain dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

Dengan ketinggian dan karisma tersendiri, Idris yang mendapat jolokan 'kembar Remy Ishak' ini mampu membuatkan hati wanita yang memandangnya jadi "cair".

Mendasari hati jejaka kelahiran Libya dan membesar di Kuala Lumpur ini, Idris yang mula menceburi dunia peragaan sejak lapan tahun lalu, mengakui sukakan gadis matang.

"Ciri-ciri matang yang saya maksudkan adalah daripada aspek pemikiran, kehidupan dan kerjaya.

"Wanita yang saya idamkan perlulah dalam kalangan yang berusaha keras untuk mengejar apa yang diingini. Dia juga perlu ada matlamat.


IDRIS Khan minat wanita yang matang. - Foto Adi Safri

"Semangat itu yang saya mahu kerana saya juga mempunyai cita-cita sama. Jadi, dalam hal ini, wanita itu perlu berdikari tanpa mengharap bantuan lelaki," katanya kepada BH.

Ketika dihubungi, Idris yang mula mengumpan lebih 30,000 pengikut di laman Instragram, berada di Perak bagi menyiapkan penggambaran drama Duda Terlajak Laris bersama pelakon wanita, Zara Zya. Sebelum ini, mereka pernah digandingkan dalam drama Cinta Hati Abah.

Sempurna manapun dirinya pada pandangan orang, rupa-rupanya dalam hati Idris bersarang luka.

Meluahkan isi hati, Idris memberitahu, dia baru lima bulan putus cinta. Lebih menyakitkan, hubungan tujuh tahun yang dibina bersama seorang gadis, terlerai begitu saja.

"Alhamdulillah, biarpun kecewa dan sedih dengan apa yang terjadi, saya tidak larut dengan situasi itu. Kami berpisah secara baik. Mungkin hubungan yang terjalin lama itu sudah jadi hambar. Tapi saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.

"Saya doakan yang terbaik untuk dia (bekas kekasih). Saya tak mahu pandang ke belakang lagi. Dengan kesempatan dan rahmat yang diberikan Tuhan ini, saya tak mahu mempersiakan peluang yang ada... Insya-Allah," katanya.

Idris berkata, atas apa yang berlaku, cinta kini bukan lagi menjadi tumpuannya.

"Pada usia 27 tahun, saya mahu terus fokus dengan kerjaya yang diceburi termasuk cabang perniagaan," katanya.


IDRIS Khan pelakon baharu yang "sado" semakin menjadi sebutan ramai. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Serasi dengan Zara Zya

Mengulas mengenai dirinya yang tersenarai dalam calon awal ABPBH 29, Idris sama sekali tidak menyangka kehadirannya dalam industri seni disedari ramai.

Alang-alang tercalon, Idris mula melobi dan meraih undi melalui laman sosial termasuk Instagram dengan harapan dirinya bolos senarai Top 5 yang bakal diumumkan, bulan depan.

"Alhamdulillah, biarpun perjalanan seni saya masih hijau, saya bersyukur kerana rezeki tak putus.

"Saya sangat terkejut apabila nama tersenarai dalam calon awal ABPBH 29. Saya anggap ini sebagai penghargaan dan terima kasih bagi mereka yang mengundi saya," katanya.

Idris sedar ramai pelakon lain yang mempunyai tuah selain dikurniakan bakat dan paras rupa.

"Saya tidak mahu bersandarkan kepada paras rupa semata-mata. Saya mahu berkongsi bakat dan membuktikannya," katanya.

Ditanya pandangannya terhadap pasangannya dalam drama Duda Terlajak Laris, Idris menyifatkan Zara wanita yang santai dan menyenangkan.

"Selepas dua kali bekerjasama dengannya, dia memang cepat mesra. Kali pertama berjumpa kami sudah serasi dan mudah rapat," katanya.


Pelakon, Idris Khan (kiri) di Istana Hotel. - Foto Adi Safri

Tumpang populariti Che Ta

Baru-baru ini, pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan memuat naik dua video muzik mempromosikan produk terbaharu keluarannya pada laman Instagram.

Video muzik yang mengiringi kempen produk minyak wangi dan losyen pemutih itu menggunakan muzik latar filem Bollywood, Dilwale iaitu lagu Gerua dan Janam Janam.

Apa yang menarik, Idris disunting Rozita atau mesra disapa Che Ta untuk menjadi pasangannya dalam video muzik itu.

Dalam rakaman itu, Idris mengambil mood sebagai Shah Rukh Khan manakala Che Ta meresap dengan watak Kajol.

Menceritakan pengalamannya bekerja dengan Che Ta, Idris mula mengenali wanita itu sejak berusia 19 tahun.

"Saya mula memperaga fesyen dengan Che Ta bagi sebuah majalah pengantin. Jika saya tak silap, ketika itu, Che Ta belum berlakon lagi," katanya.

Idris berkata, dia tidak menghadapi masalah bekerja dengan Che Ta.

"Hendak melahirkan mood juga tidak susah bersamanya. Ketika menjayakan rakaman video muzik Gerua dan Janam Janam , Che Ta meminta kru memainkan lagu filem Dilwale sepanjang penggambaran. Disebabkan kami sudah berkawan lama, keserasian itu sudah ada," katanya.

Mengenai Rozita, Idris menyifatkan isteri kepada Zain Saidin itu sebagai wanita berjiwa muda, peramah dan happy go lucky.

"Che Ta nampak muda. Dia juga seperti orang muda. Che Ta menitikberatkan penampilan dan imej. Dia sangat rajin dan fokus apabila bekerja atau bila mahukan sesuatu," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X