Selasa, 16 Februari 2016 | 10:56pm

Isu Laut China Selatan: ASEAN mahu penyelesaian aman

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika sidang media bersama wartawan Malaysia berkaitan Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN pada Isnin. - Foto BERNAMA

SUNNYLANDS: Pemimpin ASEAN mengulangi pendirian mahukan satu penyelesaian damai terhadap tuntutan wilayah bertindih ke atas Laut China Selatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata isu itu mesti diselesaikan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

"Semua pihak perlu mengekang diri, elakkan ketegangan meningkat di wilayah yang dipertikai," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Syarikat (AS)-ASEAN, di sini.

Tuntutan bertindih itu membabitkan empat negara ASEAN iaitu Brunei, Filipina, Malaysia dan Vietnam, selain China dan Taiwan.

Najib berkata, beliau membangkitkan perkara itu dalam perbincangan antara 10 pemimpin ASEAN dengan Presiden AS, Barack Obama.

Beliau berkata, adalah penting untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di samping kebebasan pelayaran dan penerbangan di ruang angkasa kawasan berkenaan.

"Penyelesaian itu tidak ditujukan kepada China saja. Kita perlukan peranan China secara positif dan produktif kerana sebarang pertumbuhan ekonomi yang lembab di China akan memberi impak kepada ekonomi global," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X