Isnin, 15 Februari 2016 | 12:36am

220,000 tentera Brazil bantu perangi virus Zika

ANGGOTA tentera Brazil mengedarkan risalah mengenai nyamuk Aedes aegypti, pembawa virus Zika di pantai Copacabana, Rio de Janeiro, Brazil. - Foto AP
ANGGOTA tentera Brazil mengedarkan risalah mengenai nyamuk Aedes aegypti, pembawa virus Zika di pantai Copacabana, Rio de Janeiro, Brazil. - Foto AP

SAO PAULO: Kira-kira 220,000 anggota tentera darat, laut dan udara dikerah ke seluruh Brazil untuk mengajar orang ramai cara menghapuskan nyamuk Aedes aegypti, pembawa virus Zika.

Tindakan menyeluruh itu adalah sebahagian daripada pengisytiharan perang oleh Presiden Brazil, Dilma Rousseff, terhadap virus yang cepat menular di seluruh benua Amerika.

Menurut kerajaan Brazil, kira-kira 220,000 anggota tentera bersama ejen kesihatan komuniti dan pasukan kawalan nyamuk dikerah bagi membantu mengajar penduduk cara menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di dalam dan luar kawasan rumah mereka.

Kumpulan terbabit dijangka melakukan lawatan ke lebih tiga juta rumah di 350 bandar untuk mengagihkan risalah penerangan.

Rousseff yang turut turun padang mengenakan kemeja-T bertulis slogan kempen 'Zero Zika' melawat ke kejiranan kelas pertengahan Zeppelin di Rio de Janeiro.

Beliau ditemani Datuk Bandar, Eduardo Paes dan Gabenor Negeri Rio de Janeiro, Luiz Fernando Pezao. - AP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X