Sabtu, 13 Februari 2016 | 4:42pm

4 maut, 2 parah nahas 2 kenderaan


EMPAT maut termasuk tiga sekeluarga dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 138.8 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Cenderawasih awal pagi tadi. - Foto Ihsan BOMBA

ROMPIN: Empat termasuk tiga sekeluarga, maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 138.8 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Cenderawasih, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.45 pagi itu, mangsa, Foo Kam Long, 45, bersama isterinya, Salamiah Ating, 33, yang menaiki Perodua Kancil maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala anak mereka, Foo Wei Quan,10, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Selain itu, turut maut dalam kemalangan itu ialah penumpang hadapan Proton Saga BLM, Muhamad Sharil Sabri, 23, dari Kubang Batang Cabang 4, Tumpat, Kelantan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata dua mangsa parah adalah anak Kam Long, Foo Weng Ee, 8, dan pemandu Proton Saga, Mohamad Zareqh Emeer Mohd Zainudin, 23.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 3, Perkampungan Orang Asli, Jalan Sabak dari arah Kuantan.  

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Mohamad Zareqh Emeer yang datang dari arah Segamat menghala ke Kuantan dipercayai memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Kam Long.

"Akibat pertembungan itu, Kam Long, Salamiah serta Muhamad Sharil maut di tempat kejadian, manakala Wei Quan yang berada di tempat duduk belakang sempat dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital itu," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. 

Beliau berkata, orang ramai yang kebetulan melalui jalan itu cuba membantu mangsa, namun berdepan kesukaran kerana mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing.

Katanya, mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah yang tiba di lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu. 

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku di jalan berselekoh dan kita tidak menolak kemungkinan kereta Proton Saga BLM terbabas terlebih dulu sebelum bertembung dengan Perodua Kancil dinaiki empat beranak itu.

"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. 

Berita Harian X