Khamis, 11 Februari 2016 | 12:05am

Buku Rais Yatim, tali rahim Negeri Sembilan dan Minangkabau

MALAYSIA ialah negara moden multietnik di Asia, yang berhasil meraih kejayaan ekonomi.

Prestasi hebat ini hanya boleh dicapai kerana perancangan pembangunan yang berencana dan penataan hubungan antara etnik yang berterusan.

Kerajaan mengatur dengan baik hubungan antara kaum Melayu sebagai etnik majoriti tempatan dengan etnik lain yang bertujuan untuk mewujudkan hubungan harmonis antara pelbagai kaum.

Kerajaan tentu sedar terutamanya selepas peristiwa pada tahun 1969, bahawa tanpa ketenteraman dalam masyarakat, tentulah sulit membangunkan bangsa dan negara.

Sifat multietnik Malaysia bukanlah hal baharu terjadi seperti yang boleh dirujuk dalam banyak kajian sejarah. Ia wujud sebelum bangsa Eropah datang ke rantau ini pada kurun ke-16.

Kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu memang bertambah semasa pentadbiran British tetapi penghijrahan kedua-dua bangsa itu ke wilayah ini sudah bermula jauh pada masa sebelumnya. Begitu juga etnik lain di daerah persekitaran terutamanya kepulauan yang kini berada dalam wilayah negara jiran, Indonesia.

Dengan percampuran etnik yang berlangsung berbilang abad itulah, Malaysia kini membentuk negara moden yang bersifat pluralis dan heterogen.

Justeru, buku Adat: The Legacy of Minangkabau karya Tan Sri Dr Rais Yatim menjadi refleksi mendalam penulisnya terhadap bangsa Malaysia yang memiliki hakikat kacukan itu.

Ia membahas secara terperinci hubungan sejarah dan budaya antara Negeri Sembilan dengan Minangkabau di Sumatera, Indonesia. Penulisnya, Rais yang juga Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Malaysia ialah putera Negeri Sembilan keturunan Minangkabau.

Tokoh keturunan Minangkabau

Negeri Sembilan sebagai antara rantau tertua Minangkabau, iaitu etnik utama di Indonesia berjaya melahirkan banyak tokoh sama ada di tanah asal sendiri mahupun di rantau tempat mereka berhijrah termasuk di Malaysia.

Penulis buku ini ialah contoh jelas kecemerlangan keturunan perantau Minangkabau itu.

Seperti dijelaskan oleh JT Newbold dalam artikelnya, Sketch of the Four Menangkabowe States in the Interior of the Malayan Peninsula dalam Journal of the Asiatic Society of Bengal 14 (Januari-Disember 1835: 241-252), penghijrahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan sudah bermula sejak kurun ke-14.

Kemudian hubungan perkahwinan berlaku antara dengan penduduk tempatan tetapi penghijrah dari Minangkabau tetap mengamalkan budaya nenek-moyang mereka, iaitu Adat Perpatih.

Justeru, dalam buku mengandungi 20 bab ini, Rais memaparkan adat Negeri Sembilan sambil merujuk kepada akar tunjang sejarahnya di Minangkabau.

Buku yang tebalnya lebih daripada 500 halaman ini memaparkan pelbagai elemen adat Minangkabau sama ada yang ketara mahupun yang tidak. Elemen adat Minangkabau ketara yang dibicarakan dalam buku ini antara lain ialah kulinari, tarian dan muzik, seni bela diri, prasasti, rumah gadang dan pakaian.

Kepelbagaian elemen budaya

Elemen tidak ketara pula meliputi: sastera dengan Kaba Cindua Mato dibicarakan secara khusus, historiografi tradisional tambo yang kemudian dituliskan dengan memakai huruf Jawi selepas berkembangnya Islam di Minangkabau, sistem matrilineal, iaitu hubungan keturunan menerusi sebelah wanita atau ibu yang menjadi ciri khas Minangkabau.

Ia juga merangkumi tradisi merantau, hukum adat, sistem geopolitik (luhak dan nagari) dan agama, selain menghuraikan aspek sejarah Minangkabau sejak zaman pra-Islam sehingga sekarang serta meneropong perubahan penting yang berlaku kepada adat Minangkabau akibat terjadinya Perang Paderi (1803-1837).

Selepas membaca buku ini, kita mendapati kesan kuat bahawa penulisnya sangat menekankan budi dalam adat Minangkabau dan Melayu pada amnya. Rais menelusuri akar sejarah daripada konsep budi ini dengan merujuk kepada perlambangan pokok bodhi dalam tradisi Hindu yang berasal dari India yang kemudian dibawa ke Sumatera jauh sebelum peradaban Islam mencapai wilayah ini.

Penulis menunjukkan banyaknya adat lidah pendeta (maxim), iaitu pantun, pepatah-petitih, mamangan dan ibarat yang melambangkan pentingnya budi dalam adat Minangkabau seperti bansaik budi binaso suku yang bermaksud miskin budi, binasa suku.

Cabaran modenisasi, globalisasi

Bagaimanapun, tidak ada yang kekal di dunia ini seperti yang berlaku pada adat dan budaya yang tergambar dalam ungkapan Minangkabau, sakali aia gadang, sakali tapian baraliah (adat resam berubah mengikut perjalanan waktu) tetapi ia hendaklah tidak melenyapkan elemen inti dalam adat itu sendiri.

Justeru, penulis menunjukkan perubahan yang berlaku ke atas adat Minangkabau sama ada di Sumatera Barat mahupun di rantau Negeri Sembilan yang tidak lepas pula daripada pengaruh kuasa luar.

Pada zaman penjajahan dulu, kuasa luar ialah penjajah Belanda dan British, manakala pada zaman kini tentunya akibat modenisasi dan globalisasi yang turut disentuh oleh penulis.

Rais yang begitu mencintai adat resam nenek moyangnya, masih berharap adat masih boleh diadaptasikan dan dilestarikan dalam perubahan zaman yang sangat deras ini. Sedapat mungkin elemen inti adat Minangkabau seperti budi, bahasa dan sistem matrilineal masih lagi diamalkan.

Kerajaan juga perlu menciptakan peluang supaya adat itu masih boleh dipertahankan. Hilangnya adat boleh bererti hilang atau bertukarnya identiti. Jika hal itu terjadi, bererti jalan dialiah urang lalu, cupak dipapek urang panggaleh (kuasa luar sudah menukar identiti kita, membuat kita menjadi asing di negeri sendiri).

Saya kira untuk itulah, buku ini dihadirkan kepada pembaca. Gaya penulisannya yang mengutip banyak adat lidah pendeta untuk menjelaskan topik yang dibahas terkesan sangat khas dan membuatkannya enak dibaca.

Ini memang gaya khas Rais seperti yang dapat dikesan dalam buku yang lain, iaitu barometer jelas untuk mengajuk kedalaman pengetahuannya tentang adat dan cinta kepada kebudayaan nenek moyangnya sendiri.

Saya menyarankan buku yang kaya dengan ilustrasi ini dibaca oleh khususnya generasi penerus bangsa, agar memahami kenyataan sejarah hubungan rapat Malaysia dengan negara jirannya terutama Minangkabau di Sumatera.

Mudah-mudahan buku ini akan diterjemahkan ke bahasa Melayu supaya boleh dibaca oleh kalangan yang lebih luas di Malaysia dan Indonesia.

PROFIL:

Penulis ialah penyelidik dan pensyarah Indonesia dalam bidang pengajian Indonesia dan dunia Melayu di Leiden University Institute for Area Studies (LIAS), Faculteit der Geesteswetenschappen, Universiti Leiden, Belanda yang banyak menulis di jurnal serantau serta antarabangsa.

Berita Harian X