Khamis, 11 Februari 2016 | 12:04am
KECACATAN kekal dialami bayi mikrosefali.
BAYI menghidap mikrosefali, dimandikan ibunya.

Ancaman maut virus zika

AGENSI kesihatan di Sao Paulo menunjukkan lava nyamuk ketika operasi pembersihan untuk mengawal zika.

DUNIA pernah menyaksikan drama penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), selsema burung (avian flu), selsema babi (H1N1) dan Ebola tidak lama dulu.

Terbaru, virus Zika menyerang 26 negara di benua Amerika sejak dikesan April 2015. Zika disebarkan menerusi gigitan nyamuk Aedes aegypti, juga penyebar denggi, wabak tidak asing lagi di kalangan negara tropika termasuk di rantau Asia Tenggara.

Persoalannya adakah kita sedang menuju ke arah bencana penyakit berjangkit lain pula?

Profesor Emeritus Kependudukan dan Kesihatan Universiti Macquarie Australia, Peter Curson berkata jika direnung kembali sepanjang tempoh 15 tahun lalu, beliau tidak yakin manusia mengambil iktibar dan belajar cara mengawal wabak penyakit berjangkit.

"Sebelum tahun 2013, hanya segelintir saja kes Zika dilaporkan, namun sepanjang 2015 penyakit itu mula merebak dengan pantas, menghasilkan jumlah jangkitan ketara di Kepulauan Pasifik, Amerika Selatan dan Asia Tenggara.

"Baru-baru ini jangkitan turut dilaporkan di Puerto Rico dan mulai muncul di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) di kalangan pelancong yang baharu pulang mengunjungi Amerika Latin," katanya.

Penularan Zika secara besar-besaran di Brazil sejak tahun 2015 menyebabkan pakar virus buat pertama kalinya mengaitkan jangkitan itu dengan kecacatan kelahiran dikenali mikrosefali, atau bayi dilahirkan kepala kecil.

Di sebahagian Amerika Latin, wanita dinasihat menangguhkan kehamilan sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Seperti mana jangkitan lain, penyakit itu sebenarnya mengiringi pengembara antarabangsa ke seluruh dunia, khususnya mereka yang bercuti di benua Amerika atau Kepulauan Carribbean.

VIRUS Zika menyerang 26 negara di benua Amerika sejak dikesan April 2015.

Sama seperti demam denggi, tiada penawar untuk Zika dan rawatan hanya menumpu bagi mengurangkan gejala.

Masih tidak jelas mengapa Zika, yang sehingga kini menunjukkan gejala ringan, mampu merebak dengan pantas.

Ramai percaya mobiliti manusia dan pencerobohan ke kawasan dijangkiti memainkan peranan penting namun sebahagian lagi mendakwa peningkatan suhu, corak pembiakan yang berubah dan penyebaran populasi nyamuk, turut memainkan peranan.

Dengan jutaan manusia bergerak setiap hari merentasi sempadan antarabangsa tidak kira untuk bercuti, melanjutkan pelajaran, mengembangkan perniagaan atau melarikan diri dari bencana alam, sedikit sebanyak membantu penyebaran pantas virus terbabit.

Selain itu, penduduk AS dan Eropah yang gemar mengunjungi lokasi terpencil Amerika Latin dan Carribbean mungkin mendedahkan mereka kepada nyamuk dijangkiti.

Malah peningkatan suhu dan kekerapan hujan lebat di negara tropika tidak mustahil mempengaruhi bilangan dan taburan nyamuk Aedes.

Namun adakah kita sedang menyaksikan peringkat awal wabak penyakit pandemik? Jika virus Zika hanya menular terhad di negara dunia ketiga atau mungkin benua Australia misalnya, adakah ia akan menghasilkan reaksi dan ketakutan sama seperti yang pernah kita saksikan ketika SARS, avian flu dan H1N1?

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya sudah hidup dengan demam denggi selama lebih 100 tahun dan hanya baru-baru ini saja vaksin penyakit itu, Dengvaxia dihasilkan syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi.

Namun dari sudut lain, kemungkinan implikasi jangka panjang terhadap ibu yang melahirkan anak sudah pasti lebih menakutkan dan membimbangkan oleh kerana Zika seperti rubella, tidak menunjukkan gejala serius namun memberi kesan buruk dan kekal terhadap bayi baharu lahir.

Ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal Universiti Chulalongkorn Thailand, Dr Yong Puworawan, mendedahkan, Zika bukan sahaja boleh dipindahkan menerusi gigitan nyamuk, malah hubungan seksual dan penyusuan ibu kepada bayi.

"Virus Zika bukan seteruk denggi oleh kerana gejalanya lebih ringan, namun ia boleh menyebabkan bayi dilahirkan oleh ibu dijangkiti memiliki kepala kecil berbanding biasa dan kecacatan otak kekal.

"Ia seperti rubella, yang bukan penyakit membawa maut, namun ia menyebabkan kecacatan kekal di kalangan bayi baharu lahir," katanya.

Berbalik kepada denggi, berdasarkan pengalaman terhadap penyakit bawaan nyamuk lain, kita sering dimomokkan dengan perumpamaan: 'Jika ia boleh membunuh kita, maka sesuatu perlu dilakukan. Sebaliknya, jika ia hanya melemahkan, kita teruskan saja kehidupan.'

Jika kenyataan ini tidak benar, pastinya sudah ada penawar atau vaksin untuk denggi berdekad lalu. Mungkin perkara sama juga akan berlaku pada Zika.

Wabak Ebola di Afrika Barat menunjukkan betapa lemahnya maklum balas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap krisis epidemik itu.

gn4id:11928720

Sikap tunggu dan lihat dikalangan negara membangun seolah-olah disandarkan kepada kepercayaan bahawa epidemik di negara mundur akhirnya akan lenyap begitu saja melainkan ia memberi ancaman kepada Amerika Utara dan Eropah secara langsung.

WHO dikritik hebat berikutan lambat memberi tindak balas terhadap krisis Ebola tahun 2014 di Afrika Barat, seolah tersedar daripada tidur untuk memberi bantuan.

Walaupun selepas menerima amaran buruk Ebola di luar kawalan pada pertengahan tahun 2014, WHO tidak mengisytiharkan darurat sehingga beberapa bulan kemudian, selepas hampir 1,000 orang menemui ajal.

Ketua Pengarah WHO, Dr Margaret Chan berkata, selepas mengkaji semula semua bukti, jawatankuasa itu mendapati kelompok mikrosefali dan komplikasi neurologi lain adalah peristiwa luar biasa dan ancaman kesihatan awam kepada bahagian lain dunia.

"Jika benar, wujud hubungan saintifik antara Zika dan mikrosefali, bayangkan jika kita tidak memulakan semua tugas ini sekarang dan menunggu sehingga ada bukti saintifik. Rakyat akan mempersoalkan, mengapa kamu tidak mengambil tindakan?" kata Chan.

Pengkritik mendakwa WHO juga lambat bertindak sebaik hubungan antara Zika dan mikrosefali dibuat, sepatutnya mengisytiharkan darurat lebih awal lagi.

Profesor Undang-undang Kesihatan Awam di Universiti Georgetown, Lawrence O Gostin berkata, beliau menyelar agensi kesihatan PBB itu berikutan lambat mengambil tindakan ke atas penularan wabak Ebola dan mengambil sikap tunggu dan lihat dengan Zika.

Menurut pegawai WHO, maklum balas agensi itu terhadap Zika adalah berasaskan sains dan menegaskan masih banyak yang tidak jelas, termasuk keadaan sebenar kaitan antara Zika dan mikrosefali.

INFO:

  • Dr Kleeber Luz, dari Natal Brazil, orang pertama mengaitkan gejala pesakitnya dengan Zika sejak Januari 2015
  • Kementerian Kesihatan Brazil hanya mengesahkan kewujudan virus Zika di sini awal Mei 2015 dan memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO).
  • Makmal di Rio de Janeiro hanya mengesahkan kaitan antara virus itu dan mikrosefali pada November 2015
  • Pada 30 November WHO menghantar pasukan penyelidik dari ibu pejabat PAHO di Washington ke Brazil
  • 1 Disember, PAHO mengeluarkan pekeliling memberi amaran kepada negara di rantau itu susulan kaitan antara virus dan mikrosefali.
  • 1 Februari lalu, WHO mengisytihar virus Zika sebagai darurat kecemasan antarabangsa.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X