Selasa, 9 Februari 2016 | 9:13am

Ronaldo minat sambung kontrak bersama Real

PENYERANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo (kanan). - Foto AFP
PENYERANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo (kanan). - Foto AFP

MADRID: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo berkata dia akan kekal bersama Real Madrid sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun lagi.

Penyerang berusia 31 tahun dan pemenang tiga gelaran Ballon d'Or itu berkata demikian ketika menerima anugerah selaku penjaring terbanyak di Sepanyol musim lalu daripada akhbar terkemuka, Marca.

Ketika sidang media, dia menafikan segala khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan beberapa perpindahan termasuk ke Paris Saint-Germain dan bekas kelabnya, Manchester United.

"Saya masih mempunyai kontrak untuk tempoh dua tahun. Selepas itu, kita akan lihat," kata Ronaldo.

"Apa yang paling saya mahukan ialah kekal di sini untuk beberapa tahun lagi. Untuk masa depan, kamu akan lihat apa yang akan berlaku nanti," katanya.

Ronaldo menyertai Real pada 2009 dari Manchester United, setahun selepas memenangi Ballon d'Or pertamanya dan membantu gergasi Inggeris itu menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2008.

Dia kemudian memenangi dua lagi anugerah berprestij itu di Real dengan antara kejayaan yang dilakar ialah membantu kelab terkaya dunia itu menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2014.

Real ketika ini dikatakan tidak berhasrat untuk menjual sebarang pemain selepas dikenakan hukuman untuk membeli pemain bagi dua jendela perpindahan kerana melanggar peraturan untuk mendapatkan pemain-pemain muda. - AFP

Berita Harian X