Selasa, 9 Februari 2016 | 12:03am
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) memakaikan jaket Olahragawan UiTM 2014 kepada Ahmad Syukri pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2014. - Foto Muhammad Sulaiman
ATLET Perahu Layar Kebangsaan, Ahmad Syukri Abdul Aziz. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Kiki sasar ke Olimpik Jepun 2020


AHMAD Syukri beraksi dalam acara pelayaran kategori optimist di pantai Ancol-Marina pada Sukan SEA ke-26 Indonesia 2011. - Foto Osman Adnan

BANTING: Sejak berusia sembilan tahun, Ahmad Syukri Abdul Aziz, sudah didedahkan dengan sukan perahu layar di Pusat Latihan Sukan Pelayaran Batu Laut, Kuala Langat, Selangor.

Bimbingan yang diterimanya itu bertujuan mengisi masa lapang anak bongsu daripada empat beradik itu selain cara berkesan yang difikirkan ahli keluarganya untuk mengelakkannya daripada terjerumus dengan perkara negatif.

Perkara itu didedahkan oleh bapanya, Abdul Aziz Abas mengenai perihal serta sejarah anak lelakinya dalam kancah pelayaran.

"Saya mula bawa dia untuk mengenali peralatan perahu layar ketika dia dalam Tahun Tiga untuk isi masa lapang, kebetulan pada masa itu ada empat orang yang sebaya untuk dijadikan rakan sekumpulan.

"Walaupun agak risau pada awalnya tapi saya tak mahu dia merayau, main di tepi parit, buang masa begitu saja sebab ia lebih membimbangkan," katanya ketika mengimbas kembali permulaan pembabitan anak lelaki tunggalnya itu.

Ahmad Syukri adalah pemenang pingat emas Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan yang bertindak selaku krew menerusi acara layar International 420.


AHMAD Syukri beraksi di ISAF Youth World Championship 2012, Dun Laoghaire, Dublin Ireland. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Datuk juga seorang pelayar

Kemenangan itu diraih di Wangsan Sailing Marina, bersama gandingan, Mohamad Faizal Norizan selaku jurumudi sekali gus memecah kemarau lapan tahun negara tidak memenangi pingat emas acara pelayaran.

Aziz berkata selepas mula menyertai acara itu, dia mula menghantar Syukri atau dikenali sebagai Kiki untuk memasuki pertandingan dan ternyata prestasinya meningkat saban hari.

"Pada tahun pertama penampilan, ia hanya sebagai pendedahan dan beberapa tahun selepas itu, saya nampak hasil serta pencapaian dengan rakan-rakan amat memuaskan.

"Dia juga menunjukkan minat mendalam selepas itu hingga saya menghantar dia menyertai kejohanan.


AHMAD Syukri beraksi pada OCBC IODA Asian Optimist Championship ke-21, Singapura. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Apabila berada dalam Tahun Enam, nama Syukri tercalon untuk memasuki pasukan kebangsaan," katanya yang juga bertindak sebagai Pengurus Pasukan Perahu Layar Selangor sejak tahun 2008.

Selepas meningkatnya pencapaian dalam sukan itu sehingga ke peringkat dunia, kini Abdul Aziz dan pasangan, Azura Ali berharap Syukri mampu menggapai kejayaan lebih besar.

"Saya harap dia dapat jadikan sukan perahu layar ini sebagai aktiviti berfaedah kepada demi masa lapang kerana saya percaya sukan layar ini sebahagian pencetus kepada perkembangan minda remaja dan saya lihat dia cepat matang berbanding rakan sebaya yang lain.

"Ia juga mungkin membabitkan keturunan, kerana zaman datuk saya berhijrah dari Indonesia ke sini dulu, saya anggap arwah juga kerap belayar dan ia sedikit sebanyak mengukuhkan kesinambungan tradisi pelayaran dalam keluarga ini," katanya.

Sementara itu, menerima pingat di sukan Olimpik sentiasa menjadi Kiki sejurus menceburi sukan pelayaran sejak berusia sembilan tahun.


AHMAD Syukri membuat persiapan di Wangsan Marina, Incheon sebelum bermula Sukan Asia ke-17. - Foto Rosli Rahmat

Bukan itu saja malah dia juga ingin berkongsi ilmu yang ada dengan menjadi seorang jurulatih untuk terus memartabatkan sukan berkenaan di negara ini.

"Sebelum nak dapatkan pingat saya kena layak dulu dan mungkin fokus saya di Olimpik Tokyo, Jepun pada tahun 2020. Kalau ikut prestasi sekarang saya memang belum boleh fikir untuk ke Olimpik di Rio Brazil 2016 kerana kurang pengalaman.

"Saya juga berazam untuk menurunkan ilmu kepada bakal pelapis negara serta muka baharu bidang ini, setelah itu ingin berusaha menjadi seorang jurulatih," katanya.

Berlatih di lokasi sebenar

Walaupun pada awalnya didedahkan oleh bapanya untuk mengisi masa lapang namun dek prestasi memberangsangkan dia mula dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan pada usia 12 tahun dalam acara Optimist.


ATLET Perahu Layar Kebangsaan, Ahmad Syukri Abdul Aziz semasa IODA Asian Championship 2010. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Dan lama kelamaan dia semakin mendapat rentak untuk terus menggegarkan lautan sekali gus memberi saingan kepada pelayar dalam dan luar negara.

Untuk terus maju dalam perlumbaan, Syukri menjadikan pemenang Olimpik dari Australia acara International 470, Malcolm Page sebagai idola dalam memburu kerlipan pingat.

"Saya akan usaha sekuatnya untuk menjadi macam Page," katanya yang dikendalikan jurulatih dari Greece, Dimitris Lekakis dan jurulatih tempatan, Mohd Shahir Abdul Rahim.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Syukri berkata seminggu sebelum acara sebenar, dia dan rakan akan mengadakan latihan di lokasi untuk proses menyesuaikan diri, mengumpul maklumat serta mengetahui keadaan laut dan cuaca.

"Kalau hendak menang, selalunya kena biasakan dengan keadaan sekeliling sebelum berlumba. Kemudian apabila tiba hari sebenar kena serius dan buat yang terbaik," katanya yang juga penuntut Diploma Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), cawangan Arau.


KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (dua kanan) menyampaikan Piala Pusingan dan Anugerah Olahragawan UiTM 2014 serta Replika Cek bernilai RM1,000 kepada Ahmad Syukri, bersama Timbalan Naib Canselor UiTM, Datuk Abdullah Mohamad Said pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2014 - Foto Muhammad Sulaiman

BIODATA
Ahmad Syukri Abdul Aziz
Tarikh lahir: 14 Februari 1996
Ibu bapa: Abdul Aziz Abas, dan Azura Ali
Adik beradik: Nur Sakinah, Nur Hanisah, Intan Syahirah,  dan Ahmad Syukri
Pendidikan
Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang Langkawi (tingkatan 1 hingga 3)
Sekolah Menengah Vokasional Langkawi (tingkatan 4 hingga 5)
Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis

Pencapaian
2014
- Pingat emas acara Antarabangsa 420 di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan
- Pingat emas acara Antarabangsa 420 di Kejohanan Pelayaran Asia ke-16, Korea Selatan
- Pingat emas acara Antarabangsa 420 di Sail The Gulf, Doha, Qatar
- Pingat perak acara Antarabangsa 420 di Kejohanan Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) Remaja Dunia, Tavira, Portugal
- Tempat keempat daripada 111 peserta acara Antarabangsa 420 di Kejohanan Terbuka Dunia
- Pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA), Perlis

2013
- Pingat emas acara Antarabangsa 420 di Sukan SEA, Myanmar
- Ranking nombor satu Malaysia acara Antarabangsa 420


AHMAD Syukri mensasarkan penyertaan di Olimpik Jepun 2020 - Foto Hasriyasyah Sabudin

2012
- Pingat emas acara Antarabangsa 420 Kejohanan Pelayaran Asia ke-15, Langkawi
- Tempat ketujuh acara Antarabangsa 420 di Kejohanan Remaja Dunia, Ireland
- Pingat gangsa acara individu di SUKMA, Pahang
- Ranking nombor satu Malaysia acara Antarabangsa 420

2011
- Pingat gangsa acara International 420 di Sukan SEA, Indonesia

2010
- Pingat emas berpasukan di SUKMA, Melaka
- Pingat perak di Kejohanan Pelayaran Dunia IODA
- Pingat perak di terbuka Optimist

   

Berita Harian X