Isnin, 8 Februari 2016 | 2:55pm

Tiada imuniti dalam Mentor Milenia

AKSI persembahan peserta Mentor Milenia di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Semua protege Mentor Milenia tidak akan menerima imuniti sepanjang pertandingan itu bagi menyelamatkan mereka daripada tersingkir.

Penerbit Eksekutifnya, Muhamad Sufian Isa berkata, pihak produksi mengesahkan tiada siapa yang boleh menyelamatkan peserta sebaik diumumkan mendapat markah terendah lalu terpaksa menamatkan saingan.

"Kita memang sudah membuat ketetapan tidak ada imuniti sepanjang Mentor Milenia berlangsung.

"Ini adalah cabaran untuk mentor dan protege supaya memberikan persembahan terbaik setiap minggu bagi mencuri hati juri awam dan pengundi secara dalam talian," katanya kepada BH selepas persaingan minggu kedua, malam tadi.

Muhamad Sufian berkata, pengundi dalam kalangan penonton dan penyokong juga perlu memastikan mereka mengundi bagi menyelamatkan protege pilihan masing-masing.

Pada masa sama, dia berharap undian dibuat adalah bersandarkan kepada persembahan protege yang bertanding bukannya mentor mereka.

Mentor Milenia menampilkan Akim, Black, Hazama dan Azlan bersaing membentuk dua protege setiap daripada mereka menjadi penyanyi pelapis industri hiburan.

Pada persaingan minggu kedua di Sri Pentas Dua, Plaza Alam Sentral Ahad lalu, protege Hazama dan Black iaitu Mya serta Wanie mendapat markah terendah walaupun memberikan persembahan cemerlang.

Namun kedua-dua mereka terselamat apabila pasangan pengacara rancangan itu, Issey dan Marsha mengumumkan tiada penyingkiran.

Hazama mengakui terkejut apabila Mya berada di kedudukan dua terbawah kerana yakin protegenya itu memberikan persembahan yang kemas.

"Apapun bagus juga selepas menjadi juara minggu pertama, ini satu peringatan untuk Mya supaya berusaha lebih keras," katanya.

Black turut melahirkan rasa tidak puas hati kerana baginya Wanie memberikan persembahan yang baik serta bertenaga.

"Saya bangga dan puas hati dengan Wanie. Ini semua cabaran untuk berikan yang lebih baik minggu depan," katanya.

Muhamad Sufian menambah, penyingkiran masih tidak berlaku pada minggu kedua bagi memberikan peluang kepada mentor dan protege memantapkan lagi persembahan mereka.

Protege Black iaitu Qody dipilih sebagai pemenang mingguan dan menerima hadiah wang tunai RM1,000 daripada penaja rancangan itu Datuk Seri Dr Vida pengasas produk Pamoga Qu Puteh.

Berita Harian X