Jumaat, 5 Februari 2016 | 11:39am

Dua sepupu maut kereta bertembung treler

KERETA Perodua Myvi dinaiki Muhammad Faizal bersama dua sepupunya remuk teruk akibat bertembung dengan lori treler dalam kemalangan dekat Kampung Tok Dor, Besut, awal pagi ini.

JERTIH: Dua sepupu maut, manakala seorang lagi cedera apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori treler di Kampung Tok Dor, dekat sini, awal pagi tadi.

Mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta, Muhammad Faizal Mohd Rani, 21, serta Muhamad Danish Iskandar, 7, Abang Muhammad Danish, Muhamad Amirul Danial Iskandar, 10, dilaporkan cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, kereta Perodua Myvi dipandu Muhammad Faizal dalam perjalanan dari Johor ke Pasir Mas, Kelantan, berlanggar secara berdepan dengan treler menyebabkan kereta itu remuk teruk.

Muhammad Faizal seorang pekerja kilang dikatakan dalam perjalanan pulang bercuti bersama dua sepupunya itu sempena cuti umum Tahun Baharu Cina di kampungnya di Pasir Mas.

Jurucakap anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jertih yang ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan mayat Muhamad Faizal yang tersepit di bahagian pemandu.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah mengesahkan kejadian.

Berita Harian X