Jumaat, 17 Oktober 2014 | 11:20am
KETUA Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi. - Foto BERNAMA
KETUA Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi. - Foto BERNAMA

Malaysia mahu pengiktirafan MIPCOM dalam industri kandungan

CANNES, Perancis: Malaysia merancang untuk memperoleh pengiktirafan 'Country of Honour' daripada pasaran industri kandungan dan kreatif MIPCOM menjelang 2017.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, berkata ia akan menjadi platform terbaik bagi industri kandungan kreatif Malaysia untuk mempamer kebolehannya kepada dunia.

"Ia akan membantu mencipta pasaran yang lebih luas dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia. Delegasi Malaysia akan membawa perkara ini kepada kerajaan dengan status kemampuan industri kreatifnya.

"Pada masa sama saya telah pun memperingatkan bahawa kita peru bersiap siaga supaya matlamat kita untuk menjadi 'country of honour' dapat kita realisasikan.

"Banyak perkara lagi yang perlu kita perhebatkan kerana ini bukan perkara main-main sebab satu dunia akan memandang kita, keupayaan kita dan tahap industri. Kita mesti bersedia," katanya yang mengetuai delegasi Malaysia ke MIPCOM 2014 dari 13 hingga 16 Oktober di sini.

Abdul Rahim berkata, pengiktirafan akan menjadikan Malaysia tumpuan lebih daripada 18,000 pemain industri dari lebih 120 negara yang menyertai MIPCOM kali ini.

Katanya, dengan memperoleh pengiktirafan, Malaysia akan muncul sebagai negara pertama di Asia yang memperoleh penghormatan itu.

Beliau berkata, industri kreatif Malaysia kini berkembang setanding dengan industri antarabangsa terutama dalam bidang animasi.

"Saya lihat kali ini, trendnya adalah lebih kepada mengiktiraf produk Malaysia khususnya animasi 3D. Bukan sahaja itu, kita juga ada mendapat beberapa pertanyaan dan juga minat yang ditunjuk supaya Malaysia dapat mengadakan kerjasama dua hala bersama syarikat-syarikat kita," katanya.

Tahun lalu syarikat Malaysia yang menyertai MIPCOM mampu memperoleh perjanjian bernilai RM108 juta dengan pembeli global.

Syarikat Malaysia ini menyertai MIPCOM di bawah naungan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

- BERNAMA

Berita Harian X