Khamis, 4 Februari 2016 | 11:00am

Celcom yakin catat pertumbuhan kukuh

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd menyasar untuk terus mencatat pertumbuhan memberangsang meskipun dalam persekitaran yang lebih mencabar ekoran ketidaktentuan ekonomi global dan persaingan yang semakin sengit dalam sektor telekomunikasi mudah alih.

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin, berkata pertumbuhan itu akan didorong oleh dua bidang.

"Pertama, kita membawa masuk pelanggan ke dalam rantaian nilai, sebab itu kita mempunyai pelan bersaiz kecil, sederhana dan besar.

"Pada masa depan, pelanggan mungkin menaik taraf pelan asas terkenal kepada pelan pascabayar First Gold, jadi komitmen mereka adalah sekali ganda dan kita melihat ia satu pertumbuhan," katanya selepas majlis Tawaran Kemakmuran Terbaik Celcom sempena Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, Celcom menawarkan pelan First Gold dan pelan prabayar, Xpax FATTNET sempena musim perayaan ini, selain program NewPhone sebagai cara mudah bagi orang ramai untuk memiliki telefon pintar Samsung daripada model sederhana hingga mewah.

Pelan First Gold menawarkan kuota data 10GB sebulan, panggilan dan SMS tanpa had, muzik percuma tanpa had dengan Yonder Music selama 12 bulan, internet yang tidak diguna dibawa ke bulan berikutnya sehingga 5GB pada harga RM80 yang boleh didapati mulai kelmarin hingga 31 Mac ini.

Xpax FATTNET pula akan menawarkan kuota data 8GB sebulan, 88 minit percuma untuk panggilan, 88 SMS percuma dan Internet Burung Hantu Tanpa Had dari jam 1 hingga 8 pagi bermula Jumaat ini hingga 31 Mac.

Pelanggan pasca bayar Celcom boleh menikmati telefon pintar baharu menerusi program NewPhone dengan hanya perlu membayar serendah RM55 sebulan tanpa perlu membayar harga penuh, sebarang caj pendahuluan dan pelan atau kontrak.

Mereka boleh memulangkan telefon pintar berkenaan dan menukarnya kepada model terkini tanpa sebarang bayaran atau kos tambahan selepas 12 bulan.

Berita Harian X