Khamis, 4 Februari 2016 | 10:51am

Denggi: Selangor catat kes tertinggi

Datuk Seri Dr S Subramaniam

BANGI: Selangor mencatat kes demam denggi tertinggi dengan 7,355 kes termasuk 12 kematian bagi tempoh 1 Januari hingga 2 Februari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata ia disusuli Johor dengan 2,379 kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing mencatat 994 kes, Pulau Pinang dengan 827 kes dan Terengganu merekodkan 726 kes.

Sehubungan itu, beliau mahu kerjasama antara orang ramai dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ditingkatkan dalam memusnahkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes bagi mengurangkan risiko jangkitan demam denggi dan penularan virus Zika.

"Ia perlu dilakukan dengan serius kerana penularan wabak denggi di negara ini terutama Selangor berada di tahap membimbangkan dengan jumlah kes di seluruh negara mencecah 15,251 kes termasuk 37 kematian sejak 1 Januari hingga 2 Februari lalu.

"Dua langkah penting mengurangkan peningkatan kes demam denggi dan mencegah penularan wabak virus Zika di negara ini ialah menghapuskan tempat pembiakan Aedes serta memastikan kita tidak digigit nyamuk.

"Kawalan Aedes penting kerana ia mempunyai kaitan dengan virus Zika yang sudah merebak ke 26 negara terutama di Amerika Selatan," katanya pada sidang media selepas melawat kawasan panas demam denggi di sini, sebentar tadi.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X