Selasa, 2 Februari 2016 | 1:16am

Pihak berkuasa kesihatan Brazil serbu bangunan, tangani virus Zika

ASKAR membuat pemeriksaan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di Recife, Brazil. - Foto Reuters

RIO DE JANEIRO: Pihak berkuasa kesihatan di Brazil dibenarkan mengakses mana-mana bangunan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, yang mungkin menyebarkan virus Zika.

Langkah itu ditandatangani Presiden Brazil, Dilma Rousseff, yang membenarkan pihak berkuasa kesihatan mengakses semua rumah, bangunan awam dan persendirian, walaupun jika pemilih hartanah itu tidak dapat dikesan.

Pihak berkuasa juga boleh memohon sokongan daripada polis untuk menyerbu mana-mana bangunan disyaki menjadi tapak pembiakan nyamuk.

Brazil mengerahkan kira-kira 220,000 tentera bagi membasmi nyamuk Aedes aegypti, yang menyebarkan virus Zika, denggi, chikungunya dan demam kuning.

Virus Zika dikaitkan dengan peningkatan mendadak kes mikrosefali, yang menyebabkan bayi dilahirkan dengan otak dan kepala kecil, seterusnya merencatkan tumbesaran. - AP

Berita Harian X