Khamis, 16 Oktober 2014 | 7:46pm

Malaysia buka langkah kanan acara bola keranjang kerusi roda

KETUA Pasukan bola keranjang Paralimpik negara, Muhamad Khairul Azman Mohd Khairi (no 4) mencuba menjaringkan bola pada perlawanan antara Malaysia menentang Hong Kong yang berkesudahan Malaysia menang dengan 52-36 sempena Kejohanan Sukan Para Asia yang akan bermula secara rasmi pada 18 hingga 24 Oktober ini di Samsan World Gymnasium di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

INCHEON: Skuad bola keranjang berkerusi roda negara memulakan aksi cemerlang di temasya Sukan Para Asia ke-11 dengan menewaskan Hong Kong 52-36 dalam perlawanan pertama kumpulan B di Gimnasium Samsan World di sini, hari ini.

Ketua pasukan, Muhamad Khairul Azman Mohd Khairi dan Freday Tan Yei Bing menjadi wira pasukan negara apabila masing-masing menjaringkan 14 dan 13 mata.

Pada suku pertama perlawanan, Malaysia berjaya mendahului 12-9 dan dalam suku kedua mereka menerima tentangan sengit Hong Kong walaupun terus mendahului dengan 24-21.

Selepas rehat, Malaysia terus bermain cemerlang dengan mengatasi pasukan lawan dengan 52-36.

Muhamad Khairul Azman berharap pasukannya akan terus mempamerkan prestasi cemerlang pada perlawanan seterusnya menentang Iran, Kuwait dan Thailand.

"Saya harap dengan kemenangan ini, pasukan negara akan lebih bersemangat dan sekurang-kurangnya berada di kedudukan kedua peringkat kumpulan untuk mara ke separuh akhir.

KETUA Pasukan bola keranjang Paralimpik negara, Muhamad Khairul Azman Mohd Khairi dihalang pemain dari Hong Kong, Jam Kwok Leung dalam perlawanan antara Malaysia menentang Hong Kong yang berkesudahan Malaysia menang dengan 52-36 sempena Kejohanan Sukan Para Asia yang akan bermula secara rasmi pada 18 hingga 24 Oktober ini di Samsan World Gymnasium di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

"Kita wajib menang ke atas Iran dan Kuwait dan saya harap kita mampu tewaskan Thailand juga jika mahu berada di laluan yang lebih lancar," katanya kepada pemberita.

Muhamad Khairul Azman berkata kemenangan ke atas Thailand juga akan melonjakkan kedudukan Malaysia, yang mana pada temasya sama empat tahun lalu di Guangzhou, China, Malaysia menamatkan saingan di ranking kesembilan.

Berdasarkan kepada latihan berterusan yang disediakan oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN), mereka berhasrat untuk menaikkan kedudukan negara sekurang-kurangnya berada di ranking kelima teratas pada temasya kali ini. - BERNAMA

Berita Harian X