Rabu, 27 Januari 2016 | 3:13pm

JAS Terengganu bina 19 kolam takungan di tanah gambut

KUALA TERENGGANU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu membelanjakan RM1.2 juta untuk membina 19 kolam takungan air di kawasan tanah gambut di negeri ini.

Pengarah JAS, Roshadah Hashim, berkata projek pembinaan kolam takungan air itu dilaksanakan sejak dua tahun lalu bagi memudahkan kerja memadamkan kebakaran di kawasan tanah gambut di negeri ini.

Katanya, hasil pemantauan dilakukan mendapati air daripada kolam takungan itu mampu membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapatkan sumber air untuk melakukan kerja pemadaman kebakaran berskala besar di kawasan tanah gambut.

"Sebanyak 16 kolam takungan air di bina di Daerah Dungun, satu di Kemaman dan dua di Lembah Bidong, Setiu.

"Dengan pembinaan kolam takungan itu, masalah dihadapi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan sumber air ketika melakukan kerja pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut selesai," katanya ketika mengulas persiapan dilakukan JAS menghadapi cuaca panas berikutan fenomena El Nino di negeri ini.

Roshadah juga berkata, sebanyak 147 kes pembakaran terbuka membabitkan 35 kawasan ladang, tujuh kawasan pertanian, 71 belukar dan empat kawasan perindustrian serta 25 ladang tanpa pemilik dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu, Jenuwa Husin, berkata cuaca panas dan kering disebabkan fenomena El Nino yang berlaku di seluruh negeri dijangka berakhir pada April depan.

Jenuwa berkata, suhu di negeri ini yang berada pada sekitar 27 hingga 30 darjah celsius, dijangka meningkat antara 1.5 darjah Celsius dan 2.0 darjah Celsius.

Katanya, suhu paling tinggi pernah direkodkan berikutan fenomena El Nino iaitu 40.1 darjah Celsius ialah di Stesen Meteorologi Chuping di Perlis Ahad lalu dan 36 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Lubok Merbau, Perak.

"Orang ramai di seluruh negeri ini diminta berjimat menggunakan air berikutan masalah bekalan air bersih mungkin akan berlaku kerana jumlah hujan semakin berkurangan.

"Kita juga menasihatkan orang ramai termasuk pihak sekolah supaya mengurangkan aktiviti di luar bagi mengelakkan masalah kesihatan disebabkan pancaran cahaya matahari yang kuat terutamanya pada sebelah petang," katanya.

Berita Harian X